suria

JPJ Laksana Sistem Gred, Nilai Institusi Memandu Bermula Januari

KUALA TERENGGANU: Mulai Januari depan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakann sistem penggredan terhadap kesemua 195 Institusi Memandu (IM), di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata ia bagi menilai perkhidmatan yang disediakan IM, seterusnya memberi gred berdasarkan bintang untuk mewujudkan persaingan sihat antara institusi berkenaan.

Beliau berkata, JPJ telah membangunkan sistem khas dengan kriteria yang akan dijadikan garis panduan untuk memberi gred kepada IM berkenaan.

"IM dengan perkhidmatan terbaik akan dikategorikan sebagai IM lima bintang dan yang paling minimum ialah satu bintang di mana kita yakin sebelum akhir tahun depan, semua IM akan selesai dinilai.

"IM terbaik akan diraikan dalam satu majlis khas untuk memberi anugerah itu seterusnya diharap dapat memberi motivasi kepada IM lain," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan sebuah IM baharu di Batu Buruk pada Sabtu.

Setiap tahun, kira-kira 1.5 juta kenderaan berdaftar dengan JPJ manakala jumlah pemohon lesen untuk motokar dan motosikal pula ialah sebanyak 450,000, katanya.

Ismail berkata penambahan mendadak jumlah kenderaan dan pengguna jalan raya itu memerlukan banyak IM baharu untuk menampung jumlah calon pemandu yang semakin meningkat saban tahun.

"Sehubungan itu, bermula tahun depan juga, JPJ akan memperkenalkan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang lebih menitikberatkan aspek kesedaran, disiplin dan sikap berhemah di jalan raya.

"Di institusi inilah, calon-calon diberi pendedahan mengenai keselamatan di jalan raya dan ia adalah elemen penting sebelum mereka diberikan lesen," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain