suria

Penduduk Mersing, Segamat, Rompin & Kemaman Dipindahkan Akibat Banjir

PINDAH... Penduduk di sekitar Sungai Lembing, Kuantan memunggah barangan yang penting dan berharga serta keperluan asas melintasi jambatan Sungai Charu selepas dinaiki air sedalam kira-kira setengah meter pada Isnin. - FotoBERNAMA
PINDAH... Penduduk di sekitar Sungai Lembing, Kuantan memunggah barangan yang penting dan berharga serta keperluan asas melintasi jambatan Sungai Charu selepas dinaiki air sedalam kira-kira setengah meter pada Isnin. - FotoBERNAMA
PINDAH... Penduduk di sekitar Sungai Lembing, Kuantan memunggah barangan yang penting dan berharga serta keperluan asas melintasi jambatan Sungai Charu selepas dinaiki air sedalam kira-kira setengah meter pada Isnin. - FotoBERNAMA

JOHOR BARU: Sebanyak 87 keluarga melibatkan 381 penduduk di lima kampung di Mersing dan Segamat dipindahkan ke lima pusat pemindahan akibat banjir yang melanda daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Mersing DSP Zulkifli Hashim berkata setakat pukul 5 petang ini, 64 keluarga melibatkan 260 mangsa dipindahkan membabitkan penduduk di Kampung Tenglu, Kampung Air Papan dan Kampung Air Tawar.

"Sejumlah 105 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, 75 orang daripada 22 keluarga ditempatkan di Sekolah Agama Air Papan manakala 80 orang daripada 18 keluarga ditempatkan di SK Air Tawar," katanya ketika dihubungi, di sini Isnin.

Zulkifli berkata sejumlah 40 keluarga polis yang mendiami 10 rumah di Balai Polis Endau turut terjejas akibat banjir apabila kediaman mereka dinaiki air setinggi hampir satu meter.

Beliau berkata hujan lebat masih melanda sekitar daerah itu dan petugas bilik gerakan banjir di sini akan memantau perkembangan air pasang laut yang dijangka berlaku pukul 9 malam ini.

Katanya semua laluan di sekitar Mersing boleh dilalui kenderaan dan orang ramai diminta supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pengerusi Jawatankuasa Banjir Dewan Undangan Negeri Tenang Mohd Azahar Ibrahim berkata 121 penduduk melibatkan 23 keluarga dari Kampung Usahajaya dan Kampung Sungai Gatom, Labis dekat Segamat, dipindahkan ke balai raya di kedua-dua kampung itu.

Beliau berkata kedua-dua pusat pemindahan banjir itu mula dibuka pukul 11.30 pagi ekoran air sungai yang melimpah akibat hujan berterusan sejak Sabtu lepas.

"Dijangkakan lebih banyak pusat pemindahan akan dibuka menjelang malam nanti kerana hujan masih lagi turun dan paras air di beberapa batang sungai di kawasan ini terus meningkat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Johor Kolonel (PA) Ghazali Abd Rahman berkata beberapa pegawai dan lebih 10 anggotanya sudah digerakkan untuk membantu mangsa banjir di Mersing dan Labis dengan bantuan lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot.

Beliau berkata 700 anggota jabatan berkenaan di seluruh Johor kini bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat bencana itu.

Di PAHANG, 52 orang daripada tujuh keluarga di daerah Rompin dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pukul 10 pagi Isnin, kata Ketua Polis Daerah Rompin DSP Ahmad Johari Jahaya.

Katanya mangsa banjir dari empat perkampungan itu mula dipindahkan apabila penempatan mereka dinaiki air melebihi 1 meter.

"Kampung yang terlibat Kampung Pertat sebanyak 23 orang yang ditempatkan di Balai Lentang Masjid Pertat, Kampung Kurnia (12 orang) ditempatkan di Dewan Teluk Gading.

"Kampung Pianggu (sembilan orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pianggu dan Kampung Kerpal (8 orang) ditempatkan di Balai Raya Simpang Sepayang," katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang menetap di kawasan rendah supaya mematuhi arahan berpindah sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka.

Sementara itu menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ketika ini hanya daerah Rompin sahaja dilaporkan mengalami banjir berikutan hujan lebat sejak Ahad.

"Jambatan Sungai Charu di Km28 yang menjadi penghubung utama antara Kuantan ke Pekan Sungai Lembing kini ditutup untuk semua kenderaan berikutan air naik setinggi 1 meter," katanya.

Di TERENGGANU, lima keluarga melibatkan 20 mangsa di Kemaman dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.

Menurut portal bencana Majlis Keselamatan Negara sehingga pukul 6.30 petang Isnin, daripada 20 mangsa sebanyak 16 orang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Telok Kalong manakala tiga orang di Masjid Batu 16 dan seorang mangsa ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Batu 14. - BERNAMA

Artikel Lain