suria

KPDNKK Sasar 500 Premis Cermin Mata Sertai KOR1M Tahun Ini

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek menjalani pemeriksaan mata yang dikendalikan "optometrists" (pakar mata) selepas merasmikan Kedai Optikal Rakyat 1 Malaysia (KOR1M) di Petaling Jaya, Khamis. -fotoBERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek menjalani pemeriksaan mata yang dikendalikan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek menjalani pemeriksaan mata yang dikendalikan "optometrists" (pakar mata) selepas merasmikan Kedai Optikal Rakyat 1 Malaysia (KOR1M) di Petaling Jaya, Khamis. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan 500 premis cermin mata di seluruh negara menyertai program Kedai Optikal Rakyat 1Malaysia (KOR1M) tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Hasan Malek berkata sehingga Oktober lepas, sebanyak 108 premis di Semenanjung Tanah Melayu yang menjual peralatan cermin mata menyertai program itu sejak dilancarkan Mac lepas.

"KOR1M merupakan satu lagi inisiatif 1Malaysia bertujuan mengurangkan beban pengguna yang berkaca mata untuk membeli peralatan optikal.

"Program itu bukan bertujuan mewujudkan kedai optikal yang baharu tetapi kedai optikal sedia ada menyertai program ini dengan menawarkan peralatan optikal pelbagai jenama pada harga antara RM70 sehingga RM100 sepasang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program itu di sini Khamis.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif VP Global Resources Holdings Berhad Vegent Pang Wai Keong.

KOR1M yang merupakan inisiatif sepenuhnya syarikat swasta VP Global Resources Holdings Berhad dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Mac lepas.

Hasan berkata melalui program itu, pengguna bukan sahaja memperoleh baucar pembelian cermin mata dan peralatan cermin mata dengan harga yang murah malah mereka turut menikmati perlindungan insurans selama setahun daripada tempoh pembelian kaca mata termasuk bingkai dan lensa.

"Pada masa sekarang belum ada mana-mana pihak yang menawarkan peralatan optikal bersama dengan perlindungan insurans.

"Ia sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada masyarakat yang berpendapatan rendah dan sederhana termasuk pelajar yang mengalami kerugian akibat kerosakan cermin mata mereka," katanya.

Hasan berkata walaupun peralatan optikal melalui KOR1M ditawarkan dengan harga yang lebih rendah, ia tidak menjejaskan kualiti barangan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain