suria

Kerajaan Ambil Langkah Kurang Popular Bagi Jamin Kestabilan Ekonomi - Mustapa

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah 'kurang popular' tetapi mampu menjamin kestabilan ekonomi negara bagi jangka masa panjang dalam Belanjawan 2014, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan dijangka mengumumkan beberapa langkah untuk memantapkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang semasa pembentangan Belanjawan 2014 yang mungkin akan menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan rakyat.

"Diharapkan rakyat dapat menerima apa jua langkah yang diambil kerajaan dalam konteks untuk memastikan negara kita dalam jangka masa panjang selamat, aman dan makmur," katanya pada pemberita pada majlis prapelancaran Kongress Usahawan Muda Bumiputera di sini Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri dan presiden Generasi Muda Berjaya (GMB) Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 25 Oktober ini dikaitkan dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan program rasionalisasi subsidi.

Pengenalan GST dan pengurangan subsidi berkenaan mengikut sesetengah penganalisis ekonomi adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan defisit kerajaan yang dijangkakan berjumlah empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada hujung tahun ini.

Sementara itu, bercakap mengenai Kongres Usahawan Muda Bumiputera, Mustapa berkata kementeriannya menyokong penuh acara anjuran GBM berkenaan yang dianggap sebagai menyusuli seruan Perdana Menteri untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Beliau yang juga penaung GMB berkata kongres berkenaan amat penting kerana dapat membuka ruang kepada golongan muda yang berperanan besar dalam menggerakkan ekonomi negara untuk menyuarakan pendapat mereka.

"Kita harap kongres dapat memberi input kepada kerajaan bagaimana dapat memantapkan ekonomi bumiputera," kata beliau.

Kongres berkenaan yang dicadangkan berlangsung pada Februari tahun hadapan, disasarkan dapat menarik 2,000 penyertaan usahawan muda untuk berkongsi maklumat, pendapat serta jalinan perniagaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain