suria

Keputusan Awal Pemilihan Boleh Diketahui Seawal 8 Malam

KUALA LUMPUR: Ibu pejabat Umno menjangkakan keputusan awal bagi pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan berlangsung esok, diketahui seawal-awalnya pada pukul 8 malam.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata pengiraan undi akan dibuat sejurus selepas semua perwakilan selesai mengundi, dijangkakan seawal 1 tengah hari.

"Keputusan rasmi dijangkakan pada pukul 2 atau 3 pagi bergantung kepada maklumat yang diterima daripada seluruh bahagian.

"Kalau ada bahagian yang belum umum, kita akan tunggu walau pukul berapa sekalipun... keputusan tidak akan ditangguh," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir Pusat Media Pemilihan Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Jumaat.

Selain mengumumkan keputusan rasmi calon-calon yang bertanding di peringkat pusat, beliau berkata ibu pejabat Umno akan turut memaklumkan dari semasa ke semasa keputusan-keputusan yang diterima bagi calon ketua ketiga-tiga sayap bahagian.

Ab Rauf berkata ibu pejabat Umno dan pihak Jawatankuasa Pemilihan telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menjalankan proses pengundian ketiga-tiga sayap yang bakal berlangsung serentak, bermula pukul 8 pagi di seluruh negara esok.

"Daripada segi persediaan, segala bahan logistik telah pun tiba di bahagian-bahagian dan esok akan dikeluarkan kertas-kertas undi daripada tempat penyimpanan dan dibawa terus ke tempat persidangan. "Oleh yang demikian segala permasalahan teknikal tentang status perwakilan dan calon, telah pun dikemas kini dan dimuktamadkan kira-kira pukul 4 petang tadi... jadi kita jangka tiada masalah akan timbul esok," katanya.

Ab Rauf berharap semua anggota UMNO dan para perwakilan dapat menunaikan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan parti, menerusi sistem pemilihan baharu, dengan baik dan lancar.

"Ini menjadi sejarah buat pertama kalinya dalam 67 tahun UMNO ditubuhkan apabila pucuk pimpinan memberi kuasa kepada peringkat akar umbi untuk memilih barisan kepimpinan peringkat tertinggi," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain