suria

PM Bincang Tiga Keutamaan Apec Pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual membincangkan tiga keutamaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2013 pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec (AELM) ke-21 di Bali, Indonesia, mulai Isnin (7 Oktober).

Menurut kenyataan Kementerian Luar, tiga keutamaan Apec 2013 itu ialah merealisasikan Matlamat Bogor, Menggalakkan Perhubungan dan Mencapai Pertumbuhan Saksama.

"Selain bertukar-tukar pandangan dengan para pemimpin lain mengenai isu-isu terbabit, Perdana Menteri juga akan meneroka idea baharu dan inovatif bagi meningkatkan lagi kerjasama sesama ekonomi Apec," kata Kementerian Luar dalam kenyataan itu.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin serta pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Miti dan Kementerian Kewangan, akan mengetuai delegasi Malaysia pada AELM Apec ke-21 itu.

AELM yang berlangsung selama dua hari dihadiri ketua-ketua kerajaan dari 21 anggota ekonomi Lingkaran Pasifik, yang memain peranan penting dalam menggalakkan perdagangan serta pelaburan di Asia Pasifik.

Hasil Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec itu akan didokumentasikan dalam Deklarasi Pemimpin Ekonomi Apec. - BERNAMA

Artikel Lain