suria

Tiada Tolak Ansur Pemandu Lori Tidak Patuh Undang-Undang - SPAD

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak akan bertolak ansur dengan pemandu lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 termasuk membawa lebihan muatan.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata suruhanjaya itu memandang berat isu lebihan muatan membabitkan lori kerana ia amat berisiko tinggi dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"SPAD telah diberi amanah untuk menjalankan pengawalseliaan dan penguatkuasaan undang-undang dan sentiasa menjalankan tanggungjawab tersebut mengikut prosedur dan tatacara yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Hamid merujuk kepada tindakan 30 buah lori yang mengepung pegawai dan kenderaan SPAD di Gebeng, Pahang pada Rabu lepas yang dipercayai berlaku ekoran rentetan penahanan beberapa buah lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan, dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata tindakan pemandu lori yang menghalang tugas penjawat awam itu boleh didakwa mengikut Seksyen 234 (b) di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2012 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM200,000 atau kedia-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Rekod SPAD menunjukkan sebanyak 83 kes kesalahan lebih muatan lori telah dicatatkan daripada tahun 2012 sehingga Julai tahun ini di Pahang," katanya.

Merujuk kepada ketidakpuasan hati pemandu tersebut tentang isu berat dan muatan (BDM) serta paras lori, Syed Hamid berkata setiap undang-undang yang dikuatkuasakan di Malaysia telah dikaji terlebih dahulu dengan mengambil kira faktor keselamatan dan alam sekitar.

"Pemandu-pemandu lori disarankan untuk menghormati undang-undang yang telah ditetapkan," katanya sambil berharap isu tersebut tidak dipolitikkan dengan tujuan untuk menguntungkan sesetengah pihak yang tidak bertanggugjawab.

Syed Hamid menggesa orang ramai supaya datang berbincang dengan pegawai SPAD di pejabat suruhanjaya itu sekiranya mempunyai masalah atau kemusykilan. -BERNAMA

Artikel Lain