suria

200, 000 Pelajar Antarabangsa Di Bawa Masuk Menjelang 2020 - Muhyiddin

NUSAJAYA: Kerajaan menyasarkan akan menarik sekurang-kurangnya 200,000 pelajar antarabangsa ke Malaysia menjelang 2020 untuk mengukuhkan lagi status negara sebagai antara pengesport terbesar dunia dalam perkhidmatan pendidikan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan itu berkata Malaysia telah meningkatkan daya tarikannya sebagai penyedia pendidikan tinggi di pasaran global.

"Negara kini merupakan pengeskport pendidikan ke-11 terbesar di dunia, yang menyediakan tempat untuk belajar bagi lebih 90,000 pelajar dari kira-kira 100 buah negara," katanya.

Muhyiddin bercakap pada majlis pecah tanah kampus Management Development Institute of Singapore (MDIS) di Educity, Nusajaya di sini.

Kampus MDIS berharga RM300 juta di Nusajaya itu ialah pelaburan luar negara terbesar bagi institusi pendidikan Singapura.

Muhyiddin berkata sektor perkhidmatan pendidikan merupakan satu daripada sembilan tunggak ekonomi sasaran dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia yang menawarkan peluang pelaburan yang sangat baik untuk pelabur tempatan dan asing.

Kerajaan menurut beliau, telah membuat keputusan untuk mengutamakan sektor pendidikan swasta.

"Satu daripada Projek Permulaan yang dikenal pasti di bawah Program Transformasi Ekonomi Malaysia adalah untuk mengubah pertumbuhan koridor ekonomi di Johor menjadi Destinasi Pilihan Asia bagi Pendidikan dengan menarik universiti dan kolej terkemuka antarabangsa," katanya.

Educity di Nusajaya akan memudahkan akses kepada pendidikan bertaraf dunia oleh rakyat Malaysia dan orang lain di rantau ini, katanya dan menambah kata ia boleh memuatkan 16,000 pelajar dalam kapasiti penuh.

Timbalan Perdana Menteri berkata 214 ekar (85.6 hektar) atau 70 peratus daripada 300 ekar (120 hektar) Educity telah dibangunkan dengan tiga kampus dan dua kemudahan secara berkongsi telah beroperasi sepenuhnya.

Ini termasuk kampus Newcastle University, Marlborough College Malaysia dan University of Southampton, manakala kampus Netherlands Maritime Institute of Technology dijadual dibuka Oktober ini. "Kita akan lihat lebih banyak institusi beroperasi di Educity dalam tempoh tiga tahun akan datang," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berpuas hati sektor pendidikan tinggi di Iskandar Malaysia kini menarik perhatian banyak pelabur antarabangsa, termasuk dari Singapura.

Selain MDIS, kumpulan dari Singapura, Raffles Education Corp juga membangunkan sebuah kampus serba lengkap berharga RM200 juta dikenali sebagai Raffles University Iskandar, dijangka dibuka 2015.

Beliau mengalu-alukan pelaburan merentas sempadan dari Singapura kerana republik itu mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi terbaik dunia dan Educity di Nusajaya boleh melengkapkan daya tarikan republik itu sebagai hab pendidikan. "Banyak yang kita boleh peroleh dengan bergabung tenaga untuk menarik cerdik pandai belajar di negara kita, dan bukannya bersaing antara satu sama lain, yang hanya akan mengakibatkan kehilangan peluang dan kegagalan untuk mengambil kesempatan atas kekuatan strategik kita," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain