suria

Dua Beradik Geng 04 Diberkas Disyaki Edar Dadah

IPOH: Dua beradik yang dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan pengedaran dadah sekitar Taiping diberkas di sebuah rumah di Asam Kumbang di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kedua-duanya yang berusia 19 dan 22 tahun ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada pukul 1.50 petang.

"Suspek yang berusia 19 tahun ditahan ketika menaiki kereta di hadapan rumah penginapan mereka dan polis menjumpai bahan yang dipercayai dadah di dalam beg yang disandangnya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini Rabu.

Beliau berkata penahanan suspek disusuli tangkapan abangnya di dalam rumah itu.

"Hasil semakan juga mendapati kedua-dua suspek merupakan anggota biasa Geng 04 yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kongsi gelap khususnya dalam pengedaran dadah di sekitar Taiping," katanya. Polis menemui 110 paket heroin seberat 2.4 kilogram, dua paket syabu seberat 380 gram dan 10 biji pil eramin 5 seberat 25 gram yang bernilai RM150,000 daripada mereka, katanya.

Acryl Sani berkata polis turut merampas sebuah Proton Gen 2, sebuah motosikal Yamaha, sebuah komputer riba, wang tunai berjumlah RM2,405 dan seutas rantai leher bernilai RM1,300 dengan nilai keseluruhannya RM27,205.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kedua-duanya kini ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain