suria

Muhyiddin Mahu UDA Bantu Usahawan Bumiputera Di Bandar

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) melihat lakaran Taman Perdana Utama, projek perumahan kos sederhana di Johor Baharu, selepas pelancarannya pada Majlis Hari Raya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Isnin. Turut hadir Presiden DPMM Datuk Syed Ali Alattas (kiri) dan timbalannya Datuk Mohd Alauddin Hassan (dua, kiri). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) kembali mengukuhkan peranan asal penubuhan, khususnya dalam membantu usahawan bumiputera di bandar.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara peranan utama yang perlu dilihat semula UDA ialah mengenal pasti punca dan mencari penyelesaian kepada masalah kadar sewa kedai yang mahal yang perlu ditanggung usahawan bumiputera di bandar-bandar utama.

"Saya setuju dengan saranan bahawa UDA boleh melihat fungsi dan peranannnya kembali kepada asal terutama di kawasan bandar di mana kos sewa agak tinggi, di mana sebahagian usahawan bumiputera tidak mampu untuk membeli kedai-kedai untuk berniaga.

"Jadi, mungkin peranan yang sejak dulu diserahkan kepada UDA dapat dilihat semula bagaimana ia dapat dilaksanakan dalam menyediakan peluang terutamanya kepada usahawan bumiputera terutama di kawasan bandar utama," ketika berucap pada majlis hari raya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini, Isnin.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Presiden DPMM Datuk Syed Ali Alattas.

Dalam pada itu, Muhyiddin mahu DPMM terus berganding bahu bersama kerajaan membangunkan program perumahan kepada rakyat bagi memastikan kelembapan ekonomi global tidak membawa kesan negatif kepada ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata sasaran DPMM untuk membangunkan rumah kos sederhana sangat dialu-alukan kerajaan, malah langkah itu adalah selari dengan manifesto pilihan raya Barisan Nasional (BN), iaitu menyediakan sejuta rumah mampu milik.

Untuk itu, katanya, kerajaan komited untuk menyegerakan pembangunan rumah mampu milik berkenaan bagi mengurangkan beban rakyat berdepan dengan harga rumah yang tinggi ketika ini.

"Antara perkara yang begitu mendesak sekarang ialah harga rumah yang dimajukan swasta terlalu tinggi, malah telah menjadi rungutan kerana harganya bukan saja ratusan ribu tetapi sudah mencecah jutaan ringgit.

"Malah golongan bumiputera yang tinggal di bandar atau pinggiran bandar merasa begitu tertekan dengan harga rumah yang begitu tinggi, mereka bukan sahaja tidak mampu tetapi kalau terpaksa menyewa mereka perlu membayar kadar yang amat tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata keadaan mendesak itu memaksa kerajaan mengambil langkah segera, antaranya mengarahkan jabatan atau kementerian yang mempunyai tanah yang tidak diguna supaya menyerahkan kepada Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk dibangunkan dengan perumahan mampu milik.

"Maka, sudah tiba masanya bagi badan ekonomi orang Melayu seperti DPMM menguatkan jalinan kerjasama strategik dengan kerajaan bagi melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan pembangunan Taman Perdana Utama, sebuah projek perumahan mampu milik mengandungi 264 unit rumah yang akan dibangunkan DPMM di kawasan Uda Utama, Johor Bahru. - BERNAMA

Artikel Lain