suria

Empat Ditahan Main 'judi Belangkas' Dalam Ladang Kelapa Sawit

SEREMBAN: Sekumpulan lelaki yang sedang asyik bermain 'judi belangkas' di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Pelanduk, Port Dickson dekat sini, bertempiaran lari selepas diserbu polis, malam Jumaat.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 malam itu, empat daripada mereka berjaya diberkas selepas gagal meloloskan diri dari kepungan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Abd Wahab Harun berkata, semasa serbuan tersebut terdapat kira-kira 10 lelaki sedang asyik berjudi di sebuah khemah di dalam ladang kelapa sawit berkenaan.

Katanya, apabila menyedari kehadiran pihak polis semua kaki judi berkenaan bertempiaran lari ke kawasan ladang kelapa sawit untuk mengelakkan diri ditahan.

"Dalam serbuan ini kita berjaya menahan seramai empat lelaki berusia 23 hingga 56 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian ini manakala yang lain dapat melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini Sabtu.

Katanya, semua suspek yang bekerja sendiri itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum sebarang tindakan diambil ke atas mereka.

Katanya, dalam operasi itu polis turut merampas sebuah meja, beberapa buah kerusi, peralatan perjudian dan wang tunai berjumlah RM78. - BERNAMA

Artikel Lain