suria

Sembilan Kereta Di Taman Dato Harun Dipecah Masuk

KUALA LUMPUR: Sembilan buah kereta yang diparkir di kawasan perumahan Taman Dato Harun berhadapan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dekat sini dipecah masuk dan barangan berharga di dalamnya dilarikan dalam kejadian awal hari Jumaat.

Kejadian disedari orang ramai pada pukul 6 pagi selepas mendapati cermin tingkap kereta terbabit dipecahkan.

Seorang mangsa Subra Maniam, 33, berkata dia kerugian hampir RM4,000 selepas sistem stereo keretanya dilarikan termasuk satu Smart Tag bernilai RM280.

"Biasanya kami letak kereta di depan rumah tetapi disebabkan saudara-mara jiran datang beraya semalam, parkir penuh jadi kami letak kereta jauh sedikit," katanya ketika ditemui Bernama, di lokasi kejadian.

Menurut pemandu peribadi itu kejadian berkenaan bukan kali pertama berlaku di situ.

Sementara itu, Laili Azura Abdul Rahman, 37, menyedari kejadian itu apabila adiknya yang mahu pulang ke kampung di Melaka pagi tadi mendapati kedua-dua kereta milik mereka dipecahkan.

Bagaimanapun dia bernasib baik kerana tidak ada barang berharga di dalam keretanya.

Kejadian disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed. - BERNAMA

Artikel Lain