suria

Namewee Kritik Tindakan Tangguh Tayangan Filem The New Village

Video terbaru Namewee kritik penangguhan filem The New Village.
Video terbaru Namewee kritik penangguhan filem The New Village.
Video terbaru Namewee kritik penangguhan filem The New Village.

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Namewee mencetuskan kontroversi lagi apabila dia memuat naikkan videonya mengkritik penangguhan filem tempatan, The New Village dengan mendakwa tindakan itu menunjukkan sikap 'double standard'.

Dalam video bertajuk 017 Double Standard yang dimuatnaik di laman sosial Youtube pada Khamis, Namewee mengkritik gesaan beberapa pihak yang mahukan Lembaga Penapisan Filem (LPF) membuat penelitian semula terhadap jalan cerita filem itu sebelum ia ditayangkan.

Namewee yang juga seorang pelakon dan pengarah berkata, ia adalah tindakan yang tidak munasabah kerana filem The New Village itu menjelaskan mengenai sejarah komunis di negara ini.

"Anda tidak boleh mengharamkan filem tersebut kerana sesetengah pihak mengadu mengenainya. Ia adalah tindakan tidak munasabah," katanya dalam video itu.

Katanya, jika sejarah bersifat kontroversi adalah satu isu, maka Tanda Putera yang akan menceritakan insiden berdarah 13 Mei 1969 juga tidak harus ditayangkan.

Namewee turut mendakwa tindakan untuk meneliti semula filem tersebut apabila skrip sudah diluluskan sebelum penggambaran bermula adalah tidak betul.

Video tersebut diterbitkan dalam bahasa Mandarin dengan sarikata bahasa Melayu dan Inggeris.

Beberapa pihak menggesa filem tersebut dikaji semula selepas ia didakwa memuatkan unsur-unsur pro komunisme.

The New Village diarahkan oleh Wong Kew Lit dan diterbitkan oleh Astro Shaw berkisar tentang darurat di Tanah Melayu pada sekitar 1949 serta mempaparkan PKM dan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan.

Ia turut menyentuh kehidupan masyarakat Cina ketika darurat dan Rundingan Damai Baling.

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin membangkitkan mengapa filem The New Village diberikan pelepasan mudah oleh LPF sedangkan tayangan Tanda Putera ditangguhkan selama setahun.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa filem itu yang dijadualkan ditayang pada 22 Ogos ini, ditangguh sementara untuk penelitian semula.

Artikel Sebelum

Artikel Lain