suria

Siasatan Laporan Calon Pakatan Rakyat Mengenai PRU-13 Dapati Tiada Unsur Rasuah

GEORGE TOWN: Hasil siasatan terhadap tujuh laporan berhubung dakwaan berlaku politik wang semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di Pulau Pinang, mendapati tiada unsur rasuah terlibat.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Samarajoo Manikam berkata hasil siasatan tidak mengesan sebarang kesalahan di bawah akta SPRM berdasarkan keterangan beberapa saksi.

"Kita dah memanggil dan merakamkan percakapan daripada saksi...mereka pun tak tahu siapa yang beri. Jadi, kalau mereka tidak boleh membuktikan apa-apa kesalahan di bawah akta kita, ia agak sukar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi penerangan dan dialog bertajuk 'SPRM Bebas dan Telus' bersama ketua-ketua jabatan kerajaan dan parti politik di sini Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai tujuh laporan berhubung politik wang semasa PRU13 yang dibuat oleh tujuh calon Pakatan Rakyat yang tewas.

Pada 14 Mei lepas, lima calon PKR Datuk Abdul Halim Hussain (Teluk Bahang), Mohd Tuah Ismail (Pulau Betong), Norhayati Jaafar (Teluk Air Tawar), Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (Pinang Tunggal), dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) serta dua calon PAS Asnah Hashim (Bayan Lepas) dan Rosidi Hussain (Penaga) membuat laporan di ibu pejabat SPRM negeri atas dakwaan berlaku pembelian undi.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat sekumpulan orang awam telah menebus baucar yang didakwa diberikan sebelum hari mengundi di tiga lokasi di Sungai Dua, Pulau Betong dan Tanjung Bungah.

Mereka layak untuk menukar baucar berkenaan dalam bentuk tunai jika calon tertentu di kawasan terbabit memenangi pilihan raya itu.

Samarajoo berkata hasil siasatan itu telah dirujuk kepada Peguam Negara dan siasatan terhadap laporan berkenaan telah dihentikan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 8 Julai 2013, SPRM Pulau Pinang menerima 239 maklumat berkaitan rasuah di mana 120 maklumat disiasat di bawah akta SPRM manakala bakinya dirujuk ke bahagian lain.

Katanya, sebanyak 16 tangkapan telah dibuat melibatkan sembilan penjawat awam dan tujuh orang awam, dan dalam tempoh itu sebanyak 11 pertuduhan telah dikenakan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain