suria

Aznil Nawawi bimbang generasi muda terbuai dengan teknologi... “Tidak mustahil anak-anak tak lagi menangis kehilangan ibu bapa kerana lebih ‘attached’ dengan AI”

Aznil pesan ibu bapa agar pantau aktiviti gajet anak-anak.

PENGACARA Datuk Aznil Nawawi berkongsi pengalamannya meneroka teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan tampil memberi peringatan tentang pentingnya mengekalkan nilai kemanusiaan dalam era digital.

Menurut Aznil, 64, minatnya dalam AI timbul kerana ingin melihat bagaimana teknologi itu boleh digunakan dalam dunia pengarahan dan promosi yang sudah sinonim dengan kerjayanya sejak bertahun-tahun.

“AI ini ibarat masalah orang zaman baharu, banyak perkara masih belum sempurna. Namun kita tidak boleh mengubah arus ini. 

Aznil sedar sekarang zaman teknologi moden seperti AI.

"Saya sudah melalui zaman bekerja sejak tahun 90-an dan menyaksikan pelbagai perubahan teknologi, daripada analog kepada digital. 

"Saya memilih untuk ikut perubahan ini kerana rugi kalau tidak menyesuaikan diri dengan teknologi moden,” katanya kepada mStar.

Walaupun begitu, Aznil menekankan bahawa peranan manusia tetap penting kerana AI tidak mempunyai nilai atau emosi.

“AI menghasilkan idea tanpa batas. Di situlah peranan manusia untuk mengawal. 

"Dunia perlu bersedia kerana AI sememangnya akan mengambil alih banyak perkara, tetapi saya tidak mengagungkan AI secara membuta tuli,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Aznil nasihat pelawak buka pentas baharu, jangan tunggu peluang TV… “Duduk mengeluh dan merungut tanpa tindakan tidak bawa perubahan”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau kami buat, kena panggil SKMM” - Aznil pertikai siaran langsung dalam Dewan Rakyat

Berkongsi lanjut, Aznil turut menekankan kesan AI terhadap generasi muda, khususnya dari sudut hubungan kekeluargaan.

Jelasnya, teknologi yang semakin canggih ini wajar dipantau agar tidak menjejaskan ikatan antara ibu bapa dan anak-anak.

“Jangan sampai satu hari nanti anak-anak menjadi terlalu terikat dengan AI hingga hubungan dengan ibu bapa terabai. 

Aznil harap ibu bapa pantau aktiviti anak-anak.

"Tidak mustahil akan tiba satu masa, anak-anak tak lagi menangis kehilangan ibu bapa kerana lebih ‘attached’ dengan AI,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain