suria

Aznil nasihat pelawak buka pentas baharu, jangan tunggu peluang TV… “Duduk mengeluh dan merungut tanpa tindakan tidak bawa perubahan”

Aznil nasihat pelawak untuk cari alternatif lain selain televisyen untuk kekal relevan.

PENGACARA Datuk Aznil Nawawi menasihati golongan pelawak supaya tidak terus bergantung harap kepada peluang di stesen televisyen semata-mata, sebaliknya berani membuka ruang dan pentas baharu dalam memastikan kelangsungan kerjaya seni mereka.

Kata Aznil, 64, landskap industri hiburan kini sudah banyak berubah dan peluang di televisyen tidak lagi semeriah dahulu. 

“Saya nasihatkan pelawak-pelawak ini buka pentas baharu. Jangan tunggu. Kalau hanya mengadu tanpa melakukan sesuatu, memang tidak akan ke mana.

Aznil nasihat pelawak agar buka pentas baharu.

“Ada yang berniaga makanan, itu pilihan masing-masing. Tetapi sebagai pelawak, kita perlu fikir apakah ruang yang boleh diwujudkan untuk bakat lawak itu sendiri.

“Macam saya sendiri buka kelas pengacaraan kerana sekarang peluang di televisyen pun semakin kurang untuk pengacara,” katanya kepada mStar.

Aznil berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Kenduri Rakyat Haiza selepas memenangi Anugerah Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH37) yang berlangsung di Restoran Asam Pedas London, Selayang, Selangor pada Sabtu.

Berkongsi lanjut, Aznil berkata pelawak perlu bijak memanfaatkan platform digital yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Fad Bocey akui peluang ke TV makin tipis, terpaksa cari jalan sendiri... “Memang berkecil hatilah” 

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau kami buat, kena panggil SKMM” - Aznil pertikai siaran langsung dalam Dewan Rakyat

Tambah Aznil, jika stesen TV tidak lagi menawarkan peluang dan ruang seperti dahulu, pelawak perlu turun padang dan mendekati penonton secara langsung.

“Kena fikir platform apa yang boleh digunakan untuk kembangkan karya pelawak itu. Contohnya penyampai radio sekarang buat podcast.

“Jadi pelawak juga perlu fikir ke arah itu. Hasilkan kandungan yang orang boleh tonton dan melanggan video untuk jana pendapatan. Mungkin boleh buat benda baharu seperti pentas bergerak.

“Jika televisyen tidak lagi menawarkan ruang kepada pelawak, inilah masanya untuk mereka turun bertemu penonton secara langsung,” jelasnya.

Kena fikir platform apa yang boleh digunakan untuk kembangkan karya pelawak itu.

DATUK AZNIL NAWAWI

PENGACARA

Dalam pada itu, Aznil menyarankan agar konsep persembahan lama seperti bangsawan dijadikan inspirasi, namun diolah dengan pendekatan lebih moden dan segar.

“Konsepnya boleh diilhamkan daripada persembahan bangsawan suatu ketika dahulu, tetapi buatlah cara baharu bersama rakan-rakan pelawak.

“Gunakan kreativiti, manfaatkan teknologi seperti paparan LED dan pentas bergerak serta lakukan sesuatu yang mampu menarik perhatian penonton. 

Aznil berpendapat pelawak perlu bijak manfaatkan platform digital.

“Duduk mengeluh dan terus merungut tanpa tindakan tidak akan membawa sebarang perubahan,” ujarnya.

Sebelum ini, pelawak Fad Bocey memaklumkan dia reda menerima hakikat bahawa perjalanan seni golongan pelawak kini tidak lagi seindah dahulu.

Fad atau Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 34, berkata sama ada mahu atau tidak, semua penggiat industri termasuk pelawak, penyanyi dan pelakon akan melalui fasa naik dan turun ibarat putaran roda kehidupan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain