suria

Demo Aman Bantah Projek Datum Jelatek Di Luar Bangunan SUK

Kumpulan Bertindak Datum Jelatek membawa kain rentang membantah pembinaan projek mega berkenaan. Foto NURUL AIN MOHD HUSSAIN
Kumpulan Bertindak Datum Jelatek membawa kain rentang membantah pembinaan projek mega berkenaan. Foto NURUL AIN MOHD HUSSAIN
Kumpulan Bertindak Datum Jelatek membawa kain rentang membantah pembinaan projek mega berkenaan. Foto NURUL AIN MOHD HUSSAIN

SHAH ALAM: Kira-kira 15 orang ahli Gabungan Bertindak Datum Jelatek (GBDJ) mengadakan demonstrasi aman di luar pintu pagar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi membantah pembinaan kondominium mewah di Datum Jelatek, Taman Keramat.

Pengerusi GBDJ, Salleh Samad mendakwa harga hartanah yang dibina di kawasan berkenaan dijual bermula pada RM700,000 hingga RM 11.6 juta dan ia tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu.

“Kita bantah projek Datum Jelatek ini kerana harga yang ditawarkan untuk pangsapuri jenis ‘studio’ dua bilik berharga RM700,000. Ini tidak masuk akal. Orang Melayu memang tidak mampu beli rumah dengan harga seperti ini.

“Kita tahu kerajaan negeri telah jual rumah di Datum Jelatek kepada orang asing sedangkan majoriti penduduk di sini orang Melayu. Ini tidak adil, kita tuntut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim beri penjelasan dalam isu ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan pembinaan projek Datum Jelatek, kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohamad Yasid Bidin.

Salleh berkata, sebelum ini projek tersebut telah diberhentikan oleh kerajaan negeri ekoran bantahan penduduk namun ia telah disambung kembali pada pertengahan tahun ini.

Bagi memastikan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu projek pembangunan Datum Jelatek ini beliau berkata, ia akan turut dibawa dalam sesi perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

“Usul ini akan dibawa oleh Ketua Pembangkang yang juga Adun Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias. Kita berharap kerajaan negeri akan beri pertimbangan sewajarnya dalam isu ini.

“Kita beri amaran kepada kerajaan negeri sekiranya mereka usik walau seinci tanah di sini (Datum Jelatek) kita akan hancurkan mereka,” katanya.

Kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang tertulis ‘Datum Jelatek, Taman Keramat adalah untuk memecah belahkan orang Melayu di Bandar oleh Pakatan Rakyat dan ‘Kami Mahu kawasan Melayu Taman Keramat dibina Datum Jelatek untuk orang asing’.

Antara perkara yang dituntut dalam memorandum berkenaan ialah:

1) Projek Pembangunan Datum Jelatek perlu dibatalkan kerana tidak mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 1972) disamping harga yang ditawarkan terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli oleh orang Melayu.

2) Projek mewah Datum Jelatek ini perlu digantikan dengan Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik bagi masyarakat Taman Keramat khususnya orang Melayu.

3) Memohon agar pembangunan yang akan dilaksanakan akan datang mestilah mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik.

4) Kawasan di Taman Keramat ini perlu dikekalkan 100 peratus kawasan orang Melayu bagi mengimbangkan penduduk di Bandar.

Salleh berkata, sekiranya semua tuntutan yang dikemukakan oleh penduduk Taman Keramat ditolak, mereka akan memohon untuk mengadakan dialog dengan Menteri Besar Selangor, Ahli Lembaga Pengarah Datum Jelatek dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama-sama dengan GBDJ untuk mengetahui mengenai integriti korporat, kebertanggungjawaban dan kecekapan PKNS serta kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Kumpulan tersebut bersurai selepas 15 minit berkumpul di luar pintu pagar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Artikel Berikut

Artikel Lain