suria

Dewan Rakyat: Presiden MIC Isi Barisan Hadapan, Pembangkang Ikut 'Kekananan'

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah menunjukkan plak nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa taklimat kepada media untuk Majlis Angkat Sumpah Anggota Parlimen serta Pembukaan Parlimen pada 24 dan 25 Jun di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Jumat. -Foto BERNAMA
Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah menunjukkan plak nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa taklimat kepada media untuk Majlis Angkat Sumpah Anggota Parlimen serta Pembukaan Parlimen pada 24 dan 25 Jun di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Jumat. -Foto BERNAMA
Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah menunjukkan plak nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa taklimat kepada media untuk Majlis Angkat Sumpah Anggota Parlimen serta Pembukaan Parlimen pada 24 dan 25 Jun di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Jumat. -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Teki-teki mengenai siapa yang bakal mengisi empat kerusi di barisan pertama blok Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Rakyat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini terjawab.

Pada Mesyuarat Parlimen ke-13 yang akan bermula Isnin depan (24 Jun) anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G.Palanivel, yang juga Presiden MIC bakal mengambil tempat di sebelah Muhyiddin diikuti anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijadual menyempurnakan Istiadat Pembukaan Majlis Parlimen Ke-13 pada 10 pagi, 25 Jun.

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah berkata bagi susunan kedudukan anggota pembangkang pula, ia dibuat berdasarkan kepada kekananan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP.

"Kedudukan ini mereka (pembangkang) yang minta. Mereka tulis surat kepada kitatak nak diletak dalam blok parti sebelum ini tapi mahu kombinasi berdasarkan "seniority" (kekananan) dalam parti (PR)," katanya. Mengikut susun atur yang ditetapkan, anggota Parlimen Pematang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal di kedudukan sebelum ini sekali gus menguatkan desas desus beliau sekali lagi bakal dilantik ketua pembangkang.

Mengambil tempat di sebelah Anwar ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), diikuti Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) dan Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Rosmee berkata pada 24 Jun ini selain daripada upacara angkat sumpah anggota Parlimen, turut diadakan ialah pemilihan dan pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat serta dua timbalan Yang Dipertua.

Katanya, pada 26 dan 27 Jun serta 1 hingga 4 Julai ditetapkan untuk perbahasan ke atas Titah Ucapan Diraja, manakala jawapan daripada kementerian berkaitan dijadualkan pada 8 hingga 10 Julai.

Sementara itu pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan lain ditetapkan pada 11 hingga 18 Julai.

Antara rang undang-undang yang akan dibentang ialah Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013; Rang Undang-undang Tatacara Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Pesekutuan) (Pindaan) 2013 serta Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)(Pindaan) 2013 yang kesemuanya adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Berikutan kekangan masa ketiga-tiga rang undang-undang itu mungkin hanya sempat untuk bacaan kali pertama sahaja, katanya. Beliau menarik perhatian apabila berkata :"Saya jangkakan rang undang-undang paling penting pada persidangan kali ini ialah Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan dan Peruntukan Semula memandangkan ada kementerian yang bertukar nama dan fungsi".

Sementara itu, Rosmee ketika ditemuramah oleh Bernama Radio24 pula berkata pengunaan aplikasi e-Buku (e-Book) dan pembentangan laporan anggota Parlimen melalui visual merupakan antara pembaharuan pada persidangan penggal kali ini.

e-Buku menerangkan perkara yang berkaitan dengan Parlimen Malaysia kepada semua anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara manakala pembentangan laporan boleh menggunakan visual dan tidak tertumpu kepada laporan berbentuk salinan cetak sahaja.

Di samping itu, tempoh masa siaran langsung persidangan Dewan Rakyat di televisyen juga akan dilanjutkan bagi memberi lebih pendedahan kepada rakyat mengenai apa yang berlaku semasa persidangan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain