suria

Jerebu: Penerbangan Tidak Terjejas

SEPANG: Semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka akan diteruskan seperti biasa walaupun keadaan berjerebu dilihat semakin teruk di beberapa bahagian di Malaysia.

Pengurus Besar Kanan (perkhidmatan operasi) Malaysia Airports Datuk Azmi Murad berkata setakat ini kekerapan penerbangan tidak terjejas akibat pencemaran, yang dikatakan berpunca daripada amalan syarikat-syarikat perladangan di Sumatera yang melakukan pembakaran untuk pertanian.

"Setakat ini tidak ada apa-apa gangguan, tetapi kita bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk memantau keadaan," katanya selepas menyampaikan anugerah kepada kakitangan barisan hadapan dan syarikat-syarikat konsesi yang beroperasi di luar terminal penerbangan tambang rendah utama dan KLIA.

Pada pagi Khamis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengumumkan bahawa keadaan jerebu di beberapa kawasan di negara ini menjadi semakin buruk.

Bacaan paling teruk diambil di Muar, Johor, yang mencatat indeks pencemaran udara (IPU) 337 yang dinilai sebagai berbahaya.

Artikel Lain