suria

Tanah Runtuh: Tiga Lorong Dibuka Di Lebuhraya Mahameru-Tun razak

KUALA LUMPUR: Tiga daripada empat lorong telah dibuka kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan akibat tanah runtuh dan pokok tumbang, di Lebuhraya Mahameru menuju ke Jalan Tun Razak malam Selasa.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata tiga lorong itu mula dibuka 1 tengah hari tadi dengan kenderaan mulai menggunakan tiga lorong tersebut sekali gus mengurangkan kesesakan.

"Satu lorong lagi masih ditutup untuk kerja-kerja pembersihan pokok tumbang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya sambil menambah beberapa anggota polis trafik ditempatkan di lokasi kejadian bagi mengawal lalu lintas.

Tanah runtuh akibat hujan lebat malam Selasa menyebabkan kesesakan melebihi 10 kilometer bermula dari arah Sungai Besi.

Katanya kesesakan itu dijangka berlarutan sehingga petang selepas operasi pembersihan diselesaikan sepenuhnya. Sementara itu, beliau berkata kedua-dua laluan Jalan Ampang ke Bukit Nanas masih ditutup kepada pengguna jalan raya bagi operasi pembersihan dan mengeluarkan tiga lagi kereta yang masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.

"Kita bagi ruang kepada DBKL untuk buat kajian berhubung kejadian ini," katanya. Dalam kejadian 7 malam itu, sembilan kereta tertimbus akibat tanah runtuh di Jalan Ampang berhadapan Stesen LRT Dang Wangi.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib ketika dihubungi berkata berlaku gelongsoran tanah pada ketinggian 20 meter dan 100 meter lebar, dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Nanas.

"Kita telah mengarahkan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) meneliti kekuatan tanah tersebut. DBKL akan cantas atau tebang mana-mana pokok yang mendatangkan bahaya di kawasan itu," katanya.

Ahmad Phesal berkata taburan hujan tidak normal berlaku semalam iaitu sebanyak 147 mm berbanding 30-35 mm dalam keadaan biasa.-BERNAMA

Artikel Lain