suria

PR Kekalkan Pemerintahan di Selangor

SHAH ALAM: Gabungan parti-parti pembangkang PKR, DAP dan PAS mengekalkan kuasa di Selangor setelah memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor manakala Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Keputusan bagi semua kerusi pilihan raya di Selangor, yang diumumkan agak lewat sehingga pukul 4.30 pagi ini bagi keputusan terakhir melibatkan kerusi DU NSungai Pinang, menyaksikan pakatan rakyat menang lapan kerusi tambahan berbanding 36 kerusi yang dimenangi pada PRU12, 2008.

Bilangan kerusi DUN yang dimenangi oleh BN pula berkurang menjadi 12 berbanding 20 kerusi yang dimenangi pada 2008.

BN pula, walaupun kehilangan lapan kerusi kepada pihak pakatan rakyat, ia mendapat kembali dua kerusi DUN yang terlepas ke tangan PR pada 2008 iaitu kerusi DUN Bukit Melawati dan Kota Damansara.

Bagi kerusi Parlimen, kedua-dua pihak pakatan dan BN mengekalkan jumlah kerusi yang sama yang dimenangi pada 2008.

Pakatan rakyat menguasai 17 kerusi parlimen iaitu PKR memenangi sembilan kerusi manakala DAP dan PAS masing-masing memenangi empat kerusi.

BN pula memenangi lima kerusi parlimen iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Sungguhpun BN kehilangan kerusi Parlimen Sepang dengan kekalahan Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dan kerusi Pandan pada kali ini, ia berjaya mendapatkan kembali kerusi Parlimen Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semasa mengulas keputusan keseluruhan PRU13, berkata keputusan itu adalah dipengaruhi oleh 'tsunami masyarakat Cina'.

Selangor jatuh ke tangan pakatan parti-parti pembangkang pada 2008 di kala Malaysia dilanda oleh apa yang disebut sebagai 'tsunami politik', yang turut menyebabkan kerajaan persekutuan yang dikuasai BN, kehilangan kuasa majoriti dua pertiga di parlimen pada 2008.

Proses pengundian di Selangor hari ini pada amnya berjalan lancar dan secara keseluruhannya, sejumlah 1,458,022 orang atau 71.16 peratus daripada sejumlah 2,048,828 pengundi berdaftar, termasuk pengundi awal dan pengundi luar negara telah mengundi. -BERNAMA

Artikel Lain