suria

Standard SJKC dan SJKT Akan Diselaras Dengan Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu ada pihak yang salah faham dan mengatakan kerajaan menganaktirikan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil kerana sudah banyak usaha yang dilakukan bagi memastikan mutu pembelajarannya sama dengan sekolah kebangsaan lain.

Menurutnya, SJKC dan SJKT akan dikekalkan selain memastikan standard pembelajarannya sama dengan sekolah bantuan penuh kerajaan lain.

"Kerajaan menggariskan banyak perkara untuk menambah baik bidang pendidikan di negara ini antaranya memperkasakan lagi penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kepada pelajar di sekolah-sekolah.

"Selaras dengan itu, kita juga akan merangka matapelajaran Bahasa Melayu khas bagi disesuaikan dengan pembelajaran pelajar di SJKC dan SJKT," katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baru SJKT Lanadron, Panchor dekat sini, Khamis.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan kerana wujudnya rungutan sesetengah pihak bahawa matapelajaran BM yang diajar di sekolah berkenaan hari ini terlalu tinggi untuk pelajar India dan Cina fahami.

Katanya, manifesto yang diumumkan itu turut mengukuhkan lagi perancangan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2035.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan kerajaan Kelantan yang menutup sebuah sekolah pondok Genting di Tumpat Muhyiddin menyifatkan ia sebagai satu penganiayaan. Beliau berkata, tindakan berkenaan memperlihatkan sikap yang tidak prihatin kerajaan Pas.

"Kenapa baru sekarang hendak tutup dan hukum sekolah pondok berkenaan sedangkan selama ini kerajaan Pas kata mereka perjuangkan Islam.

"Sepatutnya semua pihak tidak kira parti perlu memberi sokongan dan ia (sekolah pondok) Tidak perlu ditutup kerana merugikan Islam sendiri," katanya.

Artikel Lain