suria

Empat Individu Ditahan, Dadah Bernilai RM100,000 Dirampas

IPOH: Polis Perak berjaya melumpuhkan kes pengedaran dadah terbesar setakat ini tahun ini dengan tertangkapnya empat lelaki termasuk dua anak beranak dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM100,000 di Taiping Khamis lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kegiatan itu dilumpuhkan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Taiping.

"Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Ria pada pukul 2.45 petang, polis menahan dua beranak yang si bapa yang berumur 57 tahun bekerja di Majlis Perbandaran Taiping manakala anaknya yang berumur 33 tahun bekerja di bengkel besi," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata susulan daripada soal siasat terhadap kedua-duanya, satu lagi serbuah dilakukan ke atas sebuah rumah di Taman Sungai Mas dan dua lelaki ditahan.

"Pada mulanga anggota kita mengarahkan penghuni rumah terbabit membuka pintu gril yang berkunci tetapi tidak diendahkan. Anggota kita kemudiannya bertindak mengumpil pintu gril itu untuk masuk ke dalam rumah sebelum mendapati ada dua lelaki di dalam bilik.

"Dua lelaki yang masing-masing berumur 22 dan 19 tahun itu cuba melarikan diri namun bergelut dengan anggota yang cuba menahan mereka," katanya.

Mohd Shukri berkata pemeriksaan di dalam bilik itu menemui dadah yang disyaki heroin dengan berat anggaran 2.8 kilogram dan ganja seberat satu kilogram.

Heroin itu dibungkus dalam paket-paket kecil yang dipercayai untuk dijual secara runcit di Taiping dan daerah lain, katanya.

Beliau berkata turut dirampas ialah pelbagai barangan yang dipercayai hasil daripada jualan dadah sejak suspek bergiat aktif dalam kegiatan itu tiga tahun lepas.

Barangan sita yang dirampas itu bernilai keseluruhan kira-kira RM250,000 antaranya dua buah kereta, empat buah motosikal, wang tunai berjumlah kira-kira RM2,000, dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas dan beberapa buku bank.

Mohd Shukri berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga 10 April yang kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA

Artikel Lain