suria

Irene, Pelajar Cemerlang SPM SMK Desa Kencana Felda Sahabat Dapat 10 A

LAHAD DATU: Irene Scully Tawan, 17, pelajar Sek Men Keb Desa Kencana Felda Sahabat di sini memperoleh keputusan cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia dan terpaksa meraikannya ketika tinggal sementara di Masjid Rahman Kembara Sakti, di sini.

Dia bersama ibu bapa dan dua adik lelakinya meninggalkan rumah mereka semalam atas faktor keselamatan berikutan ancaman pengganas militan dari selatan Filipina dan tinggal sementara di masjid tersebut, 3km dari rumahnya.

Irene yang bercita-cita menjadi doktor hanya dapat mengambil keputusan SPM di sekolahnya pagi tadi dengan ditemani oleh ibu bapanya. Menurut beliau, gurunya telah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan itu semalam tetapi beliau hanya dapat mengambilnya pagi Jumaat.

Mengenai rahsia kejayaannya itu, Irene ketika ditemui di masjid tersebut berkata sikapnya yang suka bersaing antara faktor utama mendorong kejayaannya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain