suria

Zahid Sanggah Dakwaan Hantar Komado Bunuh Kiram di Filipina

BAGAN DATOH: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan kononnya sepasukan komando tentera dihantar ke Filipina untuk membunuh pemimpin pengganas Sulu, Jamalul Kiram.

Beliau berkata tentera Malaysia tidak akan menceroboh masuk ke Filipina dan tidak 'sejahat' pengganas Sulu untuk melakukan pembunuhan di negara lain.

"Saya minta Jamalul Kiram janganlah khuatir, kita tidak akan menceroboh masuk ke Filipina dan tidak sejahat beliau untuk melakukan pembunuhan di negara orang. "Janganlah lakukan 'reverse psychology' hanya untuk mendapat simpati daripada penyokong-penyokongnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 50 bekas tentera di sini, Sabtu.

Beliau mengulas laporan portal Global Nation Inquirer mengenai dakwaan anak perempuan Kiram, Jacel kononnya seorang peguam Filipina, Mario Lozada memfailkan afidavit mengenai rancangan pembunuhan itu di Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) negara itu.

Mengulas laporan "Philippine Star" beberapa hari lepas bahawa kerajaan Filipina tidak pernah melepaskan Sabah dan telah melantik sepasukan peguam untuk mengkaji tuntutannya ke atas Sabah, Ahmad Zahid berkata Malaysia tidak berhasrat membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Pungutan suara dilakukan menerusi Suruhanjaya Cobbold pada 1962 dan memperlihatkan rakyat Sabah memilih dan mahu membentuk Malaysia bersama-sama Sarawak serta Tanah Melayu dan perkara itu disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Oleh yang demikian Sabah merupakan negeri yang merdeka di dalam negara Malaysia.

"Mana-mana pihak daripada luar atau dalam yang menceroboh Sabah, mereka merupakan musuh negara dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan tidak menghormati kedaulatan undang-undang Malaysia," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain