suria

Acara Di Kuantan Hentian Terakhir Jelajah Pra Pilihan Raya Najib

PUTRAJAYA: Dua acara besar di Kuantan pada Sabtu dilihat sebagai hentian terakhir jelajah pra pilihan raya Datuk Seri Najib Tun Razak di seluruh negara sebelum beliau membubarkan Parlimen yang dijangka minggu depan.

Beliau akan menghabiskan masa sepanjang hari di negeri itu dengan menghadiri beberapa temujanji makan malam bersama masyarakat Cina untuk menyalurkan dana membina SM Chung Hwa.

Najib kemudiannya akan menghadiri acara Jelajah Janji Ditepati yang terakhir.

Sumber dalaman Umno berkata pelbagai usaha sehingga tahap masimum telah dilakukan untuk memastikan acara itu berlangsung dengan gilang-gemilang sebelum Parlimen dibubarkan.

"Jelajah dan makan malam amal dirancang dengan baik untuk memberikan kesan maksimum kepada Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN)," kata seorang pegawai.

Penganjur makan malam yang akan diadakan di Stadium Darul Makmur berharap untuk mengutip dana bagi pembinaan SM Chung Hwa di Kuantan yang dianggarkan bernilai RM35 juta.

Najib dijangka akan bertemu pemimpin komuniti tersebut mengenai rancangan pembangunan sekolah itu.

Sokongan terhadap pembinaan sekolah tersebut merupakan sebahagian daripada resolusi yang diluluskan MCA pada majlis mesyuarat agung tahunan ke-59 tahun lalu.

Beliau turut dijangka membuat pengumuman penting mengenai pendidikan bagi kaum Cina di majlis tersebut.

Najib kemudiannya dijangka akan berangkat ke padang MPK 2 berdekatan untuk program jelajah di mana beliau akan mengingatkan rakyat bahawa kerajaan BN akan sentiasa menunaikan janji dan memajukan negara menerusi program tranformasi nasional.

"Program jelajah itu bukan saja memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk mendekati rakyat tetapi rakyat juga berpeluang memberikan pandangan dan masalah kepada beliau dan juga agensi kerajaan.

"Program JJD juga membolehkan rakyat memahami dengan lebih jelas mengenai Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) selain bagaimana inisiatif itu memberi manfaat kepada mereka dan juga negara," kata seorang lagi pegawai.

Awal pagi Sabtu, Najib akan singgah di Kampung Tanjung Besar, Benta, Lipis untuk merasmikan projek Rimbunan Kasih, salah satu inisiatif awam-swasta di mana 70 keluarga miskin diberi tempat tinggal dan pekerjaan.

Ahli Parlimen Lipis, Shahrum Osman berkata, terdapat elemen nostalgia memandangkan mengapa Najib memilih untuk mengadakan projek tersebut di sana kerana beliau dilahirkan berdekatan.

"Beliau mahu melihat banyak pembangunan dilakukan di tempat kelahirannya dan ekonomi rakyat di sana lebih baik," katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri dijangka menghadiri perhimpunan belia di sini.

Selepas itu, beliau akan bertolak ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Beliau kemudiannya akan menyampaikan trofi kepada juara pertandingan golf Terbuka Malaysia Maybank di Bukit Kiara.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada program tahunan yang dihadirinya.

Perdana Menteri akan turut merasmikan Penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai apa-apa rancangan pada Isnin di mana gerak-geri beliau akan sentiasa diperhatikan kerana ramai menjangka Najib akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Artikel Berikut

Artikel Lain