suria

43 Set Komputer Diguna Untuk Judi Dirampas

KUANTAN: Polis merampas 43 set komputer bernilai kira-kira RM86,000 yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian Internet, selain menahan 48 orang kaki judi termasuk penjaga premis dalam serbuan di Triang dan Kuantan.

Menerusi Ops Dadu bermula semalam sehingga awal pagi tadi, premis yang diserbu tersebut didapati tidak memiliki lesen siber kafe serta beroperasi secara haram sejak beberapa bulan lepas.

Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Katanya, serbuan pertama jam 11.30 malam tadi di Kerayong, Triang, polis berjaya menahan 44 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 67 tahun termasuk dua orang penjaga premis.

"Kita juga merampas 33 set komputer yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian dan wang tunai berjumlah RM9,616 ," katanya kepada Bernama di sini, pada Khamis.

Noor Asyikin berkata selain itu seramai empat lelaki termasuk seorang penjaga premis turut ditahan dalam serbuan kedua di Jalan Kuantan-Galing, Kuantan.

Katanya, dalam serbuan 1.30 pagi tadi itu, selain menahan kaki judi berusia lingkungan 26 hingga 37 tahun itu, pihaknya turut merampas 10 lagi set komputer dan wang tunai berjumlah RM120.

"Kesemua lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut.

"Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4 1)(b) Enakmen Hiburan 1993," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain