Pengundi Pos Dalam Negara Boleh Kemuka Permohonan - Semasa | mStar

Pengundi Pos Dalam Negara Boleh Kemuka Permohonan

PUTRAJAYA: Pemilih berdaftar termasuk petugas media yang layak memohon untuk mengundi melalui pos boleh mengemukakan permohonan mereka bermula pada tarikh pembubaran Dewan Rakyat sehingga hari kedua selepas hari penamaan calon.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata petugas media yang bertugas di luar kawasan bahagian pilihan rayanya pada hari mengundi sudah boleh memuat turun dan mengisi Borang 1A untuk memohon mengundi melalui pos.

"Mereka yang telah mengetahui akan bertugas di luar kawasan sudah boleh isi Borang 1A. Selepas ditandatangani dan disahkan majikan, kemukakan permohonan melalui faks, e-mel atau serahkan sendiri kepada pegawai pengurus (RO) pilihan raya di kawasan dia mendaftar sebagai pengundi untuk diproses," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata RO akan memberi jawapan permohonan mengundi secara pos menerusi faks atau e-mel pemohon dan setelah disemak dan diluluskan, nama pemohon akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih biasa.

Katanya Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos dan sampul berkaitan akan dihantar kepada petugas media mengikut alamat surat-menyurat yang dikemukakan pada borang permohonan. Wan Ahmad berkata Sampul Keutamaan itu juga boleh diambil sendiri oleh petugas media.

"Jika guna alamat majikan, Sampul Keutamaan akan dihantar kepada majikan dan petugas perlu berurusan dengan majikan atau pegawai bertanggungjawab untuk dapatkan Sampul Keutamaan itu dan mengundi," katanya.

Beliau menjelaskan Sampul Keutamaan mengandungi dua sampul kertas undi iaitu satu sampul kerusi parlimen dan satu sampul kerusi dewan undangan negeri (DUN) berserta Borang 2 iaitu borang saksi yang memperakukan bahawa pemilih telah menerima kertas undi.

Menyatakan bahawa petugas boleh menghantar sendiri atau menggunakan khidmat Pos Malaysia atau syarikat kurier, Wan Ahmad berkata petugas media mesti memastikan sampul kertas undi dikembalikan berserta Borang 2 yang ditandatangani saksi.

"Kalau hanya sampul kertas undi sahaja tanpa Borang 2, ia tidak dikira dan dianggap undi rosak. Borang 2 sangat penting kerana pegawai pengurus akan melihat Borang 2 ini ada atau tidak sebelum meletakkan sampul kertas undi ke dalam peti undi," katanya.

Beliau berkata petugas media hendaklah mengembalikan sampul berkenaan sebelum pukul 5 petang hari mengundi dan boleh menghubungi pegawai pengurus untuk pastikan kertas undi sudah diterima atau tidak.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, layak memohon untuk mengundi pos.

Pemilih berdaftar lain yang layak memohon undi pos ialah anggota SPR, seseorang yang diakui sebagai pegawai atau petugas SPR, anggota polis atau tentera yang bertugas pada hari mengundi awal.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain