suria

Aduan Rasuah Meningkat Menjelang Pilihan Raya – SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima peningkatan bilangan aduan mengenai rasuah menjelang pilihan raya umum.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, bagaimanapun, ini merupakan trend yang berlaku apabila menjelangnya pilihan raya 2004 dan 2008.

"Setiap kali pilihan raya umum semakin hampir, maklumat yang kita terima akan meningkat dan lebih hampir dengan pilihan raya umum, laporan yang lebih banyak kita peroleh adalah mengenai tuduhan rasuah.

“Kadang-kadang, timbul kembali tuduhan lama, isu yang sudah dilupakan dibangkitkan lagi dan beberapa isu tiba-tiba muncul," kata Abu Kassim, sambil menambah bahawa SPRM akan menyiasat semua maklumat dan laporan yang diterima.

Pada tahun 2004, bilangan laporan yang diterima oleh badan pencegah rasuah meningkat sebanyak 17% kepada 11,413 daripada tahun sebelumnya, manakala peningkatan pada tahun 2008 adalah 27% kepada 15,804 berbanding tahun sebelumnya.

Tahun lepas, terdapat 11,765 aduan, daripada jumlah itu sebanyak 1,078 kertas siasatan telah dibuka.

Statistik bagi suku pertama tahun ini masih sedang dikumpulkan.

Data yang disediakan oleh SPRM menunjukkan bahawa 32 ahli politik ditahan atas rasuah antara 2009 dan 2012 dan 20 daripada mereka yang disyaki kemudiannya didakwa di mahkamah.

Ditanya jika SPRM akan membuat apa-apa penangkapan mensyaki rasuah sepanjang tempoh pilihan raya umum, Abu Kassim berkata: "Ini akan diputuskan berdasarkan kes demi kes."

Beliau berkata, di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tindakan yang disyaki rasuah semasa pilihan raya juga boleh disiasat oleh pihak polis.

"Pihak polis mempunyai kehadiran yang begitu luas untuk kawasan yang paling jauh.

"Jadi, mereka juga akan dapat menerima laporan tuduhan rasuah semasa pemilihan," kata Abu Kassim, sambil menambah bahawa pasukan petugas bersama yang terdiri daripada wakil-wakil daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan SPRM akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi meningkatkan penguatkuasaan anti rasuah semasa pilihan raya umum ke-13.

Artikel Lain