suria

PM Umum Kenaikan Pangkat Dua Anggota Polis Komando Yang Terkorban Di Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban dalam insiden tembak menembak dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina dinaikkan pangkat, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dinaikkan pangkat kepada Asisten Superitendan Polis (ASP), dan Koperal Sabarudin Daud, 46, kepada Sarjan.

"Saya juga telah berbincang dengan (Timbalan Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa sebagai pertimbangan istimewa kedua-dua perwira kita akan dinaikkan pangkat," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota itu di pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang dekat sini, Sabtu.

Najib berkata kerajaan dan pihak polis juga akan mempertimbangkan pemberian-pemberian yang lain, dan ia akan dimaklumkan kepada anggota keluarga Allahyarham Zulkifli dan Sabarudin, selepas proses urusan pengebumian.

"Kita tidak akan lupa jasa, budi serta pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh kedua-dua perwira negara kita," katanya.

Sementara itu, Khalid berharap kenaikkan pangkat dua anggota berkenaan dapat melegakan dan meringankan beban anggota keluarga.

"Bagi pihak Polis Diraja Malaysia, kami berasa bangga dan terharu dengan pengorbanan mereka," katanya.

Menyentuh mengenai keadaan di Lahad Datu, Khalid berkata maklumat berhubung situasi terkini hanya boleh dilakukan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

"Perkembangan barkaitan isu di Lahad Datu tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya," katanya yang turut menyampaian ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua wira negara itu. -BERNAMA

Artikel Lain