suria

Tiada Daging Kuda Dalam Bebola Daging Ikea Malaysia

KUALA LUMPUR: Bebola daging yang dijual di Ikea Malaysia mengandungi hanya daging lembu dari Australia, kata Pengurus Gedungnya, Roszalena Mashurdin.

"Tiada satu pun bahan-bahan yang digunakan dihasilkan oleh pembekal yang terlibat," katanya bagi menjawab kontroversi yang melanda Eropah bahawa terdapat kesan-kesan daging kuda dalam produk daging lembu.

"Kami tidak bertolak ansur dengan bahan-bahan makanan selain yang telah ditentukan di dalam resepi atau spesifikasi kami, dan ini dilakukan menerusi standard, pensijilan dan analisis produk yang telah ditetapkan oleh makmal yang bertauliah.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kami telah menghentikan jualan bebola daging di Kedai Khas Makanan Sweden Ikea dan Restoran Ikea sementara menunggu keputusan ujian DNA," katanya.

Roszalena berkata Ikea menjangkakan keputusan ujian pada pertengahan minggu hadapan untuk memastikan tiada daging kuda di dalam bebola daging itu.

"Keyakinan dan kepercayaan pelanggan adalah sangat penting kepada Ikea. Kami komited dalam menghidang dan menjual makanan yang selamat, sihat dan dihasilkan dengan mengutamakan alam sekitar dan orang yang menghasilkannya," tegas beliau.

Beliau berkata bebola daging itu diperakui halal dan dihasilkan di Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain