suria

PKR Lancar Institut Rakyat Kaji Dasar Politik Baru

SUBANG JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis melancarkan Institut Rakyat sebagai badan pemikir yang mampu memberikan pandangan dalam dasar ke arah Malaysia baru.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Institut Rakyat dibarisi oleh pakar ekonomi dan akademik yang mampu memberi pandangan lebih jelas dan bebas.

"Institut ini mampu melahirkan perubahan dalam politik Malaysia daripada ketakutan, ugutan dan personaliti ke arah persaingan dasar dan perdebatan.

"Institut Rakyat mempunyai visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dengan pembangunan ekonomi yang mampan digandingkan dengan perkembangan sosial, alam sekitar dan keharmonian agama dan kawasan serantau," katanya ketika berucap di majlis perlancaran Institut Rakyat di sini, Khamis.

Institut Rakyat dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Dr Syed Husin Ali.

Empat lagi lembaga pengarahnya ialah Dr Mehrun Siraj, Dr Tan Book Kean, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dan Wong Hoy Cheong.

Anwar berkata, kajian dan penelitian yang bebas diperlukan, yang boleh membantu merangka sesuatu dasar.

"Kajian dasar menawarkan analisis kritikal bagi mempengaruhi pentadbiran yang baik.

"Ia bagi menasihati dan mengkritik tanpa gentar dan tanpa berat sebelah, serta perlu mendengar suara rakyat," katanya.

Beliau menambah, Institut Rakyat menetapkan dasar dan nasihat mengenai politik dan ekonomi, yang bukan sahaja memberi impak segera kepada rakyat tetapi juga kesan jangka panjang.

"Institut Rakyat telah mengumpulkan tenaga pakar dan mahir dengan kelayakan akademik, korporat dan komitmen mereka kepada agenda sosial untuk menggariskan beberapa dasar utama, yang harus membantu... insyaAllah (untuk) pemerintahan baru Pakatan Rakyat.

"Rakan-rakan kita dalam PAS, DAP telah pun mewujudkan institut, yayasan dan badan-badan yang membantu pimpinan parti masing-masing," katanya lagi.

Antara objektif Institut Rakyat ialah menaikkan tahap keyakinan awam dalam pembuatan dasar oleh parti-parti politik, melahirkan perubahan dalam politik Malaysia daripada ketakutan, ancaman dan personaliti ke arah persaingan dan perdebatan.

Bidang-bidang yang menjadi tumpuan dalam institusi itu adalah ekonomi dan kewangan; undang-undang, pengurusan pentadbiran, dan keadilan sosial; pembangunan manusia dan kemampanan; dasar antarabangsa dan keselamatan; serta media, seni dan kebudayaan.

Artikel Lain