suria

Seorang Pelajar Maut, Dua Lagi Cedera Dipanah Petir

TELUK INTAN: Seorang pelajar maut manakala dua yang lain cedera akibat dipanah petir ketika sedang bermain bola sepak di padang bola di Taman Desa Bakti, Jalan Kampung Banjar di sini petang Sabtu.

Mohd Amir Alias, 15, dari Tapah, meninggal dunia selepas dibawa ke surau berdekatan manakala Mohd Amin Asrin, 16, dan Mohd Shafiq Amirul Shamsuddin, 14, yang cedera menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Kejadian berlaku pada kira-kira 5.20 petang ketika tiga pelajar itu bersama lapan lagi rakan bermain bola sepak tidak jauh dari sekolah mereka iaitu Sekolah Maahad Tahfiz Al-Furqan.

Pelajar yang maut dikatakan terkena panahan petir serentak dengan dua rakannya.

Pengerusi Rukun Tetangga Taman Desa Bakti Mohamad Darus, 54, berkata selepas kejadian itu, mangsa dibawa ke surau berdekatan sebelum didapati meninggal dunia.

"Apabila diperiksa, nadinya tidak berdenyut lagi. Kejadian ini amat memeranjatkan dan tidak diduga sama sekali," katanya.

Seorang pelajar, Safatri Nazir, 15, yang turut bermain bola, berkata dia mengangkat Mohd Amir dan mendapati mulut mangsa berdarah serta matanya terbuka ketika dibawa ke surau.

"Saya dapati dia tidak bergerak dan saya sempat mengajarnya mengucap," katanya. BERNAMA

Artikel Lain