suria

Kos Pembantu Rumah: Menteri Pelawa Mama, Papa Kemuka Cadangan

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Rabu meminta Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama), Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) dan pihak lain yang mempunyai cadangan berkaitan kos membawa masuk pembantu rumah asing ke negara ini berjumpa kementerian itu.

"Apa juga rancangan yang mereka ada, mereka boleh cadangkan kepada kementerian ini," katanya sambil menjelaskan bahawa perbincangan tentang cadangan Papa sedang diteruskan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan dan Pameran DataCentre Malaysia kedua di sini.

Awal bulan ini, Papa mengumumkan bahawa kos mengambil pembantu rumah dari Indonesia ditetapkan pada kadar RM6,700 seorang, yang berkuatkuasa serta-merta.

Struktur kos baharu ini tidak termasuk tambahan RM1,800 sebagai pinjaman kepada setiap pembantu rumah untuk membantu mereka menjelaskan sebahagian bayaran kepada Sektor Tenaga Kerja Domestik di Indonesia.

Bagaimanapun, Mama menentang cadangan Papa itu dengan mendakwa ia sesuatu yang tidak wajar dilakukan dan membebankan majikan.

Ditanya tentang tindakan beberapa penggiat industri menarik diri daripada pelaksanaan gaji minimum, Dr Subramaniam berkata gaji minimum adalah rancangan kerajaan dan ia tidak akan ditarik balik.

Ia hanya memerlukan sokongan daripada industri, katanya.

"Selagi kami belum buat keputusan muktamad, kami tidak boleh buat sebarang pengumuman, tapi kami akan membuatnya secepat mungkin," kata beliau sambil menjelaskan bahawa keputusan muktamad tentang perkara itu mungkin dibuat menjelang akhir bulan ini. - BERNAMA

Artikel Lain