suria

DBKL Perkenal Lesen Perniagaan Sementara Dan Terhad Mulai Februari

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkenalkan lesen perniagaan sementara dan terhad untuk ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah mulai Februari ini sempena sambutan Hari Wilayah.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata ia bertujuan untuk menggalakan golongan berpendapatan rendah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan tempoh masa yang ditentukan bagi menambah pendapatan mereka.

Ia juga bertujuan memenuhi permintaan golongan berpendapatan rendah yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai tempat disebabkan kekurangan ruang niaga di bangunan atau tapak kekal, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Makanan Penjaja Fabulous Food 1Malaysia di Pasar Seni, di sini Sabtu.

Pesta makanan selama tiga hari yang bermula sejak Jumaat itu adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat tempatan dan pelancong merasai keenakan dan keunikan makanan 1Malaysia.

Raja Nong Chik berkata di bawah program perniagaan kecil-kecilan golongan kurang mampu, mereka dibenarkan menjual makanan seperti nasi lemak di waktu pagi atau kuih-muih pada waktu petang yang memakan masa sekitar tiga hingga empat jam sehari.

Menurutnya, tapak berniaga akan ditentukan DBKL dan tidak akan mengganggu aktiviti penduduk setempat dan ia perlu dijalankan dengan bersih dan selesa.

Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada DBKL yang akan bertanggungjawab menapis hanya mereka yang layak sahaja untuk diberikan lesen perniagaan terhad, katanya.

Beliau berkata seperti lesen perniagaan tetap, lesen perniagaan sementara dan terhad juga perlu diperbaharui setiap tahun bagi membolehkan peniaga meneruskan aktiviti perniagaan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain