suria

13 Rumah Pangsa Dibaik Pulih Tahun Depan - Chor

ALOR SETAR: Sebanyak 13 kawasan rumah pangsa di seluruh negara akan dibaik pulih melalui projek kejiranan indah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tahun hadapan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata menerusi strategi Lautan Biru Kebangsaan itu, setiap 13 kawasan rumah pangsa yang terpilih itu akan menerima peruntukan hampir sama dengan projek tahun ini, iaitu antara RM3 juta hingga RM4 juta.

"Kita masih belum mengenal pasti lokasi rumah pangsa yang akan dibaik pulih tahun depan dan apabila sudah dapat senarai lokasi, kita akan mulakan projek," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah pangsa Simpang Kuala di sini Jumaat.

Menurut Chor, antara penambahbaikan yang akan dilakukan ialah menukar tangki air rosak, mengecat bangunan, menaik taraf longkang, menyusun semula petak letak kenderaan dan mengindahkan landskap termasuk taman permainan kanak-kanak.

Katanya, sebanyak enam rumah pangsa telah dipilih tahun ini untuk dibaik pulih, iaitu tiga di Kedah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

"Tujuannya kita mahu melihat rakyat tinggal di tempat yang lebih selesa dan bersih. Selepas siap sahaja projek, saya harap penduduk akan menjaga kebersihan dan kemudahan yang disediakan dengan baik," katanya.

Chor berkata beliau berpuas hati dengan projek kerana semuanya berjalan dengan lancar.

"Rumah pangsa Lobak (Negeri Sembilan) sudah siap sepenuhnya manakala di Taman Setia Jaya (Alor Setar) dah hampir siap dan majlis penyerahan minggu depan.

"Rumah pangsa ini (Simpang Kuala) sudah 70 peratus siap dan jangka lagi tiga minggu akan siap sepenuhnya. Tinggal longkang dan jalan sahaja yang belum siap," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain