suria

PNB Jangka Umum Dividen ASN Dan ASB Lebih Kompetitif

KOTA BAHARU: Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengumumkan kadar dividen dan bonus kepada pelabur Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) tidak lama lagi.

Tanpa menyebut kadar tersebut, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata pengumuman itu dijangka memberi pulangan lebih kompetitif berbanding tahun lepas.

"Saya tidak boleh sebut peratusan keuntungan yang bakal diagihkan kepada pelabur sehingga hari pengumuman 21 Disember ini, tetapi ia adalah lebih kompetitif," katanya kepada pemberita selepas berucap di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 2012 (Kategori Universiti) di sini, Ahad.

Turut hadir pada majlis itu adalah Naib Cancelor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Raduan Che Rose, Timbalan Presiden Korporat dan Antarabangsa PNB, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid dan Timbalan Presiden Unit Amanah PNB, Datuk Idris Kechot.

Beliau berkata setiap tahun PNB membayar dividen dan bonus bernilai hampir RM10 bilion kepada kira-kira 11.23 juta pemegang akaun dana-dana unit amanahnya dan jumlah yang besar tersebut sudah pasti memberi impak kepada ekonomi negara.

Hamad Kama Piah berkata tahun ini setakat November lepas, PNB telah mengumumkan pembayaran dividen bagi tujuh dana pelaburan yang berjumlah hampir RM2.6 bilion.

Beliau juga berkata PNB bakal memperkenalkan produk baru dalam pengurusan pemegang saham yang meninggal dunia dinamakan Hibah, yang akan memberi kemudahan dan alternatif perancangan harta kepada pelabur.

"Ia bakal membantu mempercepatkan proses pentadbiran harta pesaka membabitkan dana unit-unit amanah ASNB milik mereka," katanya. Bagaimanapun, katanya produk itu belum dapat ditentukan tarikh pelaksanaannya kerana masih dalam peringkat kajian terutamanya dari segi pematuhan syariah.

Dalam ucapannya sebelum itu, beliau berkata PNB kini menguruskan sejumlah 154.22 juta bilion unit amanah milik 11.23 juta pemegang akaun.

"Dari segi nilai, kita mengurus dana lebih RM220 bilion dengan mengambil kira dana milik pelabur dan milik PNB sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain