suria

Lori Disita Dalam Operasi Bersepadu DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sebuah lori kerana kesalahan membuang tanah secara haram berhampiran balai polis Bukit Jalil di sini dalam satu operasi bersepadu untuk mengawal pencemaran alam sekitar di sekitar bandar raya pada Jumaat.

Ketua Operasi Penolong Pegawai Penguat Kuasa DBKL Abd Rahim Ishak berkata dalam operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA), dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu, pihak berkuasa turut mengenakan 19 tindakan terhadap mereka yang melakukan pelbagai kesalahan.

Antaranya membuang tanah di kawasan larangan, kenderaan kotor dan tidak mempunyai permit, katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini.

Menurutnya tindakan diambil mengikut Seksyen 47 Akta Jalan Parit dan Bangunan iaitu meletakkan debu atas jalan dan bawah Undang-undang Kecil Pengangkutan Berat.

"Kita minta pihak tertentu tidak sewenang-wenangnya membuang tanah atau sebarang pepejal di sesebuah kawasan. Jika mereka mahu membuang sisa pepejal pergi ke tempat yang dikhaskan," katanya.

Abd Rahim berkata operasi selama tiga jam bermula 9.30 pagi itu disertai 44 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa kerajaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain