suria

Media Malaysia Digesa Main Peranan Besarkan Isu Keganasan Di Gaza

KUALA KLAWANG: Media di negara ini diminta memainkan peranan membesarkan isu keganasan di Gaza untuk meniupkan semangat kemanusiaan dan bantuan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata terserah kepada media untuk menyerlahkan kebenaran sejagat.

"Tidak kira kaum Melayu, Cina atau pun India, kita mesti bersatu dalam hal ini untuk memberi gesaan bersama dan sempena isu ini dibahaskan di Parlimen hari ini, kita berharap dukungan dan sokongan ini diperoleh," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas peranan media dalam menyebar luas keganasan di Gaza akibat serangan Israel, supaya mendapat sokongan masyarakat negara ini.

Beliau ditemui pada program khidmat masyarakat agensi KPKK Negeri Sembilan 2012 di Taman Irama dekat sini, hari ini.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata "Sementara kita meluahkan rasa yang sangat dukacita atas pendirian negara-negara maju khasnya Amerika Syarikat, Britain atau Eropah terhadap keganasan yang dilakukan Isreal ke atas Gaza, kita di kawasan Asia ini khasnya di Malaysia dan Asean perlu mempunyai satu pendirian yang tegas, tetapi ini terserah pada pihak-pihak yang berkaitan."

Sementara itu, katanya, kementerian merancang mengadakan pertandingan bakat bagi kawasan Parlimen di seluruh negara yang dibahagi kepada dua fasa.

"Kawasan parlimen yang mempunyai bakat seni instrumental dan seni suara, sama ada menerusi pancaragam atau orkestra tempatan atau menerusi kumpulan seni tradisi masing-masing atau pun menerusi kegiatan seni suara dan muzik, disaran menyertai pertandingan itu. Kami akan menerima cadangan menerusi badan-badan yang bergiat menerusi muzik, budaya dan warisan," katanya.

Rais berkata maklumat mengenainya boleh diperolehi daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau menerusi laman web KPKK yang akan dikeluarkan minggu depan.

Beliau berharap kawasan parlimen yang mempunyai komponen muzik dan budayanya yang berminat boleh memohon untuk menyertai pertandingan ini.

"Mereka yang berjaya akan kita pelawa datang ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Dis bersempena Hari Krismas dan hari tahun baharu 2013," katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM73,000 kepada enam badan sukan dan belia serta surau di kawasan Parlimen Jelebu.

Selain itu beliau turut menyampaikan komputer riba kepada 30 orang penerima berserta barang keperluan harian dan termasuk seorang menerima kerusi roda. BERNAMA

Artikel Lain