suria

Tiada Penjawat Awam Diisytihar Bankrap Hilang Pekerjaan

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang diisytiharkan bankrap tidak akan kehilangan pekerjaan mereka kerana keputusan itu tertakluk kepada Lembaga Tatatertib Jabatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Chong Hon Min berkata setakat ini seramai 2,011 penjawat awam telah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Justeru, sebaik sahaja seorang penjawat awam itu diisytiharkan bankrap Ketua Pengarah Insolvensi bertanggungjawab melaporkannya kepada ketua jabatan supaya kawal seliaan ke atas kelakuan dan hal ehwal kewangan bankrap itu dapat dilakukan dengan bailk dan berkesan.

"Undang-undang kebankrapan terpakai kepada semua individu termasuk penjawat awam yang bankrap. Tiada halangan dan sekatan yang diperuntukkan di bawah undang-undang kebankrapan ini juga terpakai terhadap penjawat awam yang bankrap.

"Penjawat awam yang diisytiharkan bankrap tidak semestinya kehilangan pekerjaan mereka sebaliknya ia tertakluk kepada keputusan Lembaga Tatatertib Jabatan berkenaan," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah) yang ingin tahu jumlah kakitangan awam yang diisytiharkan bankrap sejak lima tahun lalu dan berapa ramai yang telah kehilangan pekerjaan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Chong turut mengesahkan bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak pernah menerima apa-apa kes yang berkaitan dengan masalah bankrap dan penjawat awam dihukum buang kerja oleh jabatan kerajaan berkaitan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain