suria

PRS Gesa Semua Kumpulan Etnik Saling Mempercayai

SIBU: Parti Rakyat Sarawak (PRS), satu daripada komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, menggesa semua kumpulan etnik supaya hidup bersama-sama dengan saling mempercayai antara satu sama lain.

Presidennya Tan Sri Dr James Masing berkata rasa fobia terhadap kumpulan lain "mungkin mengambil alih daripada kita" adalah bahaya dan merupakan ancaman terbesar terhadap kewujudan bersama secara aman.

Dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia, kebimbangan di kalangan etnik terhadap proses asimilasi oleh kaum etnik lain boleh menjadi punca kepada ekstremisme, katanya dalam ucapan pada majlis makan malam di sini malam tadi sempena sambutan ulang tahun ke-8 parti itu.

Timbalan Presiden PRS dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah persekutuan Datuk Joseph Entulu Belaun dan Naib Presiden PRS dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebuayaan persekutuan Datuk Joseph Salang adalah antara 2,000 tetamu yang hadir pada majlis itu.

Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah negeri berkata parti-parti berasaskan etnik akan memperjuangkan kumpulan etnik diwakili mereka tetapi adalah penting untuk tidak melakukan sesuatu yang akan menjejaskan kumpulan etnik lain di negara ini. Beliau juga berkata parti itu telah memuktamadkan senarai calonnya bagi pilihan raya Parlimen akan datang di Sarawak. Sarawak mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya Parlimen.

"Senarai muktamad ini bukan dilakukan oleh saya (sendirian) sebagai presiden parti tetapi oleh jawatankuasa pemilih yang ditubuhkan oleh Majlis Tertinggi kami.

"Jawatankuasa ini turut dianggotai Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Setiausaha Agung, dan biasanya ditubuhkan sebelum setiap pilihan raya sebagai satu tradisi," katanya.

Masing berkata calon-calon dipilih selepas perbincangan terperinci demi kepentingan parti dan tanpa sebarang agenda peribadi. -BERNAMA

Artikel Lain