suria

Media Dan Artis Disaran Jadi Ahli Skuad Pengguna

PUTRAJAYA: Golongan media dan artis disaran untuk menjadi ahli Skuad Pengguna supaya dapat memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam memantau isu kepenggunaan termasuk mengenai kenaikan harga barang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain itu, media dan artis juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat, justeru mereka dapat menyampaikan mesej kepenggunaan dengan lebih berkesan.

"Media banyak mempengaruhi pemikiran rakyat. Sebab itu kita nak media memahami isu-isu kepenggunaan yang dibangkitkan, jadi lebih mudah untuk mereka menulis dan memberi penjelasan yang sebenarnya.

"Artis pula mempunyai pengikut yang ramai, jadi apa yang dibuat oleh artis akan menjadi ikutan. Jadi kalau artis memberi pandangan, ramai yang akan terpengaruh," katanya kepada pemberita selepas Program Lepak Santai Kepenggunaan Media dan Artis di Pusat Maritim di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kementerian turut merancang untuk membawa golongan artis memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai isu kepenggunaan pada masa hadapan.

Beliau berkata pada masa ini terdapat lebih 70,000 ahli Skuad Pengguna di seluruh negara, termasuk ahli dari pertubuhan seperti Persatuan Seniman Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Katanya skuad itu menyasar keanggotaan seramai 100,000 ahli menjelang akhir tahun ini.

"Akhirnya saya harap semua rakyat akan sedar mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna," katanya. BERNAMA

Artikel Lain