suria

Malaysia Bimbang Konflik Rohingya Lahirkan Pengganas

KUALA LUMPUR: Malaysia bimbang konflik perkauman yang berlaku di Rakhine, Myanmar membabitkan etnik Rohingya akan mendorong kepada perkembangan aktiviti ekstremis hingga menjejaskan keamanan serantau.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kebimbangan tersebut dikemukakan Malaysia kepada kerajaan Myanmar dan meminta tindakan segera diambil bagi membendung penularan aktiviti ekstremis.

"Saya juga bimbang apa yang dikatakan elemen ekstremis kalau sekiranya kita tidak dapat bendung masalah ini. Bagaimanapun kita tekankan yang penting sekali adalah keadaan di Rahkine menjadi stabil dan mereka terima bantuan sewajarnya supaya tidak terusir atau lari atau berhijrah ke tempat lain.

"Kita prihatin dan tindakan yang diambil Asean adalah supaya membendung masalah ini daripada berlaku. Kalau berlaku, negara-negara utama yang mengalami akibat (ekstremis) ini adalah negara Asean," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berhubung kemungkinan penindasan etnik Rohingya di Myanmar akan membenihkan elemen ekstremis dan aktiviti pengganas serta langkah yang diambil oleh Malaysia dan Asean untuk membendungnya.

Selain itu Anifah memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang terawal dan juga negara Asean pertama melahirkan kebimbangan mengenai konflik perkauman di Myanmar.

Katanya, Malaysia menerusi Asean mengeluarkan Kenyataan Menteri-Menteri Luar Asean Berhubung Perkembangan di Rakhine pada 17 Ogos lalu yang menyokong langkah-langkah yang diambil kerajaan Myanmar untuk mengembalikan kestabilan di Rakhine disamping kesediaan menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

"Malaysia turut menawarkan diri untuk membantu Myanmar dengan menyatakan kesediaannya untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi tujuan meringankan beban kerajaan Myanmar dalam menangani krisis yang dialami," katanya.

Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran), Anifah memberitahu, jumlah pelarian Rohingya dan pemohon suaka yang berada di Malaysia adalah sebanyak 98,787 orang sehingga 12 September yang lalu.

"Biarpun Malaysia bukan negara yang mengiktiraf status pelarian dan pemohon suaka, namun atas dasar perikemanusiaan, kita menghulurkan bantuan kepada inidividu yang diiktiraf UNHCR sebagai pelarian tanpa mengira warga negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain