suria

Syarikat Dikaitkan Dengan Suaram Akan Didakwa Tidak Lama Lagi

KUANTAN: Suara Inisiatif Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan Suaram akan Suaram, akan didakwa kerana melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Syarikat dalam dua minggu lagi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, syarikat itu turut disiasat atas kebarangkalian empat lagi kesalahan lain kerana akaun yang sangat mencurigakan.

“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mempunyai bukti kukuh untuk membawa salah satu kes tersebut ke mahkamah,” katanya selepas pembukaan mesyuarat Wanita dan Puteri Umno bahagian Pekan di sini, Sabtu.

SSM begitu hebat dikritik kerana tidak mengambil tindakan ke atas syarikat itu yang menerima dana daripada luar negara dan individu untuk disalurkan kepada Suaram.

Aktivis Suaram kebanyakannya adalah di kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk Ahli Parlimen, R. Sivarasa dan Tian Chua, Ahli Undangan Negeri (ADUN), Elizabeth Wong dan Dr Nasir Hashim, Senator PKR, Dr Syed Syed Husin Ali, dan aktivis yang dikaitkan dengan parti itu termasuk peguam, Charles Hector, Cynthia Gabriel, Irene Fernandez, Irene Zavier dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis mempersoalkan motif Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur menyalurkan dana kepada Suaram.

Jamaluddin, yang juga duta khas ke Amerika Syarikat (AS) berkata, tidak sepatutnya bagi sesebuah kedutaan berbuat demikian kerana Suaram dikenali kerana pendiriannya anti kerajaan dan dengan jelas menyokong pembangkang.

“Suaram bukan seperti NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain. Ia boleh digambarkan sebagai jurucakap kepada pembangkang.

“Kedutaan Jerman tidak sepatutnya terlibat dengan mana-mana hubungan dalaman negara dalam apa juga cara sekalipun, apatah lagi menyalurkan dana kepada NGO tempatan yang melakukan aktiviti-aktiviti pro-pembangkang,” kata Dr Jamaluddin selepas mengadakan rumah terbuka Hari Raya di kawasannya di Rompin pada Jumaat.

Kedutaan itu mengakui menyalurkan dana untuk sebuah projek Suaram dan menegaskan bahawa ia menyokong NGO itu sebagai organisasi hak asasi manusia tanpa sebarang latar belakang politik.

Susulan daripada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Duta Jerman ke Malaysia akan dipanggil untuk menjelaskan perkara itu kerana tindakan kedutaan itu dilihat sebagai campur tangan hal ehwal domestik sebuah negara yang berdaulat.

Artikel Lain