suria

15 NGO di PJ Buat Laporan Polis Kejadian Pijak Gambar Pemimpin

PETALING JAYA: Lima belas lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini pada Sabtu bergabung membuat laporan polis berhubung tindakan peserta Himpunan Janji Demokrasi memijak gambar pemimpin negara dan mengibarkan 'bendera baharu' pada sambutan ambang Merdeka 30 Ogos lepas.

Jurucakap NGO berkenaan, Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) Daerah Petaling Perdana Abd Hadi Mat Jani berkata tindakan segera perlu diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan peguam negara terhadap peserta perhimpunan itu yang jelas melampaui batas.

"Pihak yang membawa bendera baharu pada perhimpunan itu juga tidak harus dibiarkan tanpa dihadapkan ke muka pengadilan kerana perbuatan mereka jelas bertentangan undang-undang dan menghina Jalur Gemilang yang menjadi bendera negara selama ini," katanya.

"Kami NGO di sini mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kejadian yang melukakan hati semua warga Malaysia," katanya kepada pemberita di sini selepas membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya.

Selepas laporan polis itu dibuat, kira-kira 50 anggota NGO berkenaan turut mengadakan perhimpunan dan membakar bendera 'Sang Saka Malaya' bagi mengecam tindakan peserta perhimpunan Janji Demokrasi itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain