suria

Borang Penamaan KWSP Perlu Dihantar Sendiri Oleh Ahli

PETALING JAYA: Borang penamaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini perlu dihantar sendiri oleh ahli ke cawangan KWSP yang terdekat.

Penghantaran borang penamaan melalui pos tidak lagi diterima dan diproses, berkuat kuasa 1 Ogos depan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira kepentingan 13 juta ahli berikutan maklumat sulit di dalam borang penamaan yang akan menentukan penerima simpanan ahli sekiranya berlaku kematian.

Katanya, borang yang dihantar oleh saudara, rakan atau pihak ketiga dianggap tidak sah dan akan ditolak.

“Tiada keperluan untuk ahli membawa bersama saksi ke cawangan KWSP sekiranya borang telah lengkap diisi dengan butir-butir yang tepat mengenai ahli dan penama, peratus simpanan yang diagihkan sekiranya terdapat lebih daripada seorang penama, cap ibu jari ahli dan tandatangan saksi di atas borang tersebut.

“Dengan membenarkan ahli sahaja menghantar borang penamaan mereka ke cawangan KWSP, kami boleh mengesahkan kesahihan penamaan tersebut dan menghalang sebarang percubaan untuk menipu,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Affendi turut mengingatkan ahli yang belum membuat penamaan agar berbuat demikian secepat mungkin.

Ahli KWSP yang ingin membuat penamaan boleh mendapatkan Borang KWSP 4 dari cawangan KWSP berhampiran atau memuat turun dari laman web myEPF (www.kwsp.gov.my).

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 (7.30 pagi hingga 7.30 malam dari Isnin hingga Jumaat) atau menghantar sebarang pertanyaan secara dalam talian menerusi http://enquiry.kwsp.gov.my.

Artikel Berikut

Artikel Lain