suria

Penghargaan Kakitangan Kementerian Kesihatan Tidak Ambil MC - Liow

PUTRAJAYA: Kakitangan Kementerian Kesihatan yang tidak pernah mengambil cuti sakit atau MC sepanjang tahun akan diberikan penghargaan sebagai menyokong kegigihan mereka menjaga kesihatan, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata inisiatif itu yang akan bermula tahun ini dan dinilai tahun depan diharap akan membangkitkan semangat untuk mereka menjaga kesihatan yang sekaligus dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang.

"Mereka akan menerima sijil penghargaan, berpeluang mengikuti kursus jangka pendek serta insentif-insentif lain yang bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Kemerdekaan ke-55 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian di sini, Khamis.

Seramai 688 kakitangan menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Liow berkata penghargaan untuk kakitangan yang tidak mengambil cuti sakit adalah kali pertama diadakan kementerian dan beliau berharap ia akan menjadi ikutan pihak lain.

Beliau turut berkata tidur yang mencukupi dan tidak kurang dari lima jam sehari adalah perlu supaya seseorang dapat mengelak daripada terkena pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, obesiti dan kencing manis.

Selain itu kementerian tersebut turut memperkenalkan program Sehari Tanpa Lif sebagai salah satu usaha untuk menggalakan kakitangannya menjaga kesihatan, kata Liow.

Mengenai sambutan kemerdekaan itu, beliau berkata antara program yang akan dilaksanakan ialah 10,000 Langkah Merdeka, mengedar kad ucapan tahniah untuk bayi yang lahir di sepanjang bulan Ogos dan pertandingan koir.

Beliau berharap program berkenaan akan menyemai semangat patriotisme di kalangan kakitangan kementeriannya. -BERNAMA

Artikel Lain