suria

Usul Tangguh Sidang Dewan Rakyat Turut Ambil Maklum Tindakan Pihak Yang Dirujuk

KUALA LUMPUR: Setiap usul penangguhan sidang di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) yang dikemukakan oleh anggota Parlimen akan disemak, diteliti dan diambil maklum daripada pihak yang dirujuk sebelum diputuskan sama ada akan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat atau sebaliknya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata walaupun ada perkara tertentu yang berhubung dengan kepentingan awam di dalam usul berkenaan, pihaknya akan terlebih dahulu menghubungi pihak berwajib berkaitan yang dirujuk di dalam usul bagi memastikan sama ada perkara itu telah diambil tindakan.

"Di bawah peraturan 18 (1), apabila kita membawa usul untuk merundingkan sesuatu hal yang berlaku melibatkan kepentingan orang ramai, yang mana antara lain tujuannya untuk mengambil minat kerajaan membuat tindakan segera.

"Di dalam hal ini apabila saya hubungi pihak berwajib, saya dimaklumkan bahawa pihak daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah pergi dan menemu bual pihak-pihak berkenaan...bermakna tindakan telah pun diambil," katanya dalam penjelasan kepada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) berhubung penolakan usul beliau pada sidang Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Usul Er bagi membincangkan dakwaan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) didera dan mahu sebuah suruhanjaya siasatan ditubuhkan bagi menyiasat kes itu serta mengapa mereka tidak dibebaskan apabila ISA dimansuhkan, telah ditolak di dalam kamar.

Pandikar Amin berkata selain itu, keputusan beliau menolak usul tersebut dibuat memandangkan tahanan berkenaan masih tertakluk di bawah Akta ISA walaupun akta tersebut telah dimansuhkan.

Beliau berkata di bawah Akta Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 yang diluluskan, Seksyen 32 (a) akta itu jelas membenarkan tahanan terus ditahan dan tertakluk kepada undang-undang terdahulu sehingga Menteri Dalam Negeri memutuskan tempoh tahanan dipendekkan.

"Jadi tidak logik bagi saya membahaskan sesuatu perkara yang mana ia juga tidak membawa kepada kesampaian tujuan sesuatu usul...itu sebab mengapa saya tolak usul berkenaan kerana tiada keperluan untuk disegerakan," katanya.

Pandikar Amin berkata alasan yang sama juga digunakan dalam menolak usul Er untuk membincangkan mengenai isu pemindahan kubur-kubur Cina yang terlibat dalam pengambilan tanah bagi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Beliau berkata jika dibahaskan sekalipun, isu itu tidak akan sampai kepada maksudnya kerana ia melibatkan hal tanah yang tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sama ada untuk memindahkan penduduk atau sebagainya.

"Saya juga telah menghubungi tiap-tiap yang berwajib dalam hal ini, jawapan yang diperoleh ialah pada ketika saya bercakap ini masih lagi perundingan dibuat di antara pihak-pihak terlibat iaitu kerajaan negeri Johor, Petronas dan keluarga si mati.

"Jadi bukan bermakna tidak ada tindakan, ia masih lagi dibincang...jadi tujuan yang berhormat untuk membawa usul rayuan di bawah peraturan mesyuarat ialah supaya kerajaan atau pemaju mengambil tindakan dan ternyata tindakan sedang diambil," katanya.

RAPID yang melibatkan pelaburan RM60 bilion mempunyai kapasiti untuk menapis 300,000 tong minyak mentah import sehari melibatkan pengambilan tanah seluas 32,000 ekar.

Dalam perkembangan berkaitan, Pandikar Amin turut menasihatkan Anggota Parlimen agar memahami serta faham tiga syarat utama dalam mengemukakan usul berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18 (1) serta syarat-syarat lain dalam peraturan itu supaya tidak berterusan memberi tekanan kepada dewan sekiranya ia ditolak.

Beliau berkata selain Peraturan Mesyuarat 18 (1), kaedah lain yang boleh digunakan dalam menyatakan isu adalah melalui ucapan penangguhan kerana mereka perlu sedar tidak semestinya setiap usul yang dikemukakan akan diterima untuk dibentang.

"Seharusnya ahli Yang Berhormat apabila sampai akhir penggal ini faham kategori mana hal-hal boleh dibawa bawah 18 (1). Macam sekarang pun saya terpaksa 'explain' (beri penjelasan) banyak yang akan menghabiskan masa.

"Saya tidak mengatakan bahawa apa yang berlaku itu tidak perlu disegerakan tetapi apa yang saya katakan apabila kita kesampingkan agenda yang tersedia (Aturan Urusan Mesyuarat) untuk membahas dan berunding sesuatu yang juga tidak mempunyai keputusan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain