suria

Hujan Bantu Turun IPU Kawasan Selangor, KL

KUALA LUMPUR: Hujan lebat di kebanyakan kawasan Lembah Klang sejak pagi Ahad menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di empat kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menurun.

Penurunan bacaan IPU tidak sihat (127) direkodkan di Pelabuhan Klang pada 11 pagi ini berbanding IPU 142 yang direkodkan pada waktu yang sama, pada Sabtu.

Penurunan IPU tidak sihat turut direkodkan berlaku di Shah Alam (116), Kuala Selangor (110) dan Petaling Jaya (102).

Bacaan IPU yang dicatatkan pada 11 pagi semalam di Shah Alam ialah 130, Kuala Selangor (101) dan Petaling Jaya (131).

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini, hasil pemantauan 24 jam lepas sebanyak 10 kawasan mencatatkan bacaan IPU di tahap baik, 37 kawasan IPU sederhana dan tiada kawasan direkodkan bacaan IPU di tahap tidak sihat.

Menurut kenyataan tersebut, kualiti udara yang merosot di Lembah Klang ekoran berlakunya pencemaran jerebu merentas sempadan negara dari Sumatera, Indonesia.

Kenyataan itu turut menyebut, imej satelit yang dikeluarkan "Asean Specialised Meteorological Centre" (ASMC) menunjukkan sebanyak 80 titik panas dikesan di Sumatera semalam berbanding sembilan kelmarin.

Imej satelit itu turut menunjukkan pergerakan jerebu yang dibawa oleh angin barat daya di kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera tengah akan menghala ke pantai barat Semenanjung Malaysia merangkumi kawasan di Lembah Klang.

JAS memaklumkan pihaknya telah menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri dalam usaha memantau status kualiti udara di seluruh negara.

Badan itu turut mengingatkan orang ramai berhubung Perintah Larangan Terbuka bagi kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masih berkuatkasa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain