suria

Mahkamah Batalkan Saman Fitnah RM30 Juta Terhadap Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin membatalkan saman fitnah RM30 juta yang difailkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng dan tiga yang lain, memutuskan Zainal Abidin tidak mempunyai lokus standi untuk memulakan saman itu.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan Zainal Abidin, yang dinamakan dalam writ saman selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, selaras dengan peruntukan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966, tidak diberi kuasa untuk memulakan saman bagi pihak Umno Pulau Pinang kerana beliau bukan seorang pegawai awam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi tujuan menyaman bagi pihak Umno Pulau Pinang.

Beliau berkata mahkamah mendapati Umno Pulau Pinang adalah sebuah pertubuhan dan tidak boleh menyaman menggunakan namanya sendiri dan tindakan itu seharusnya dilakukan oleh pegawai awamnya yang berdaftar.

"Bagaimanapun, ia telah diakui oleh PW1 (Zainal Abidin) bahawa beliau tidak didaftarkan sebagai pegawai awam Umno Pulau Pinang oleh Pendaftar Pertubuhan," kata Amelia ketika membacakan penghakiman bertulis 11 muka surat, di dalam kamarnya.

Amelia berkata plaintif tidak boleh cuba mencadangkan bahawa beliau bertindak selaku wakil.

Amelia berkata mahkamah mendapati ketiadaan sebarang perkataan atau apa-apa jua untuk memaklumkan bahawa ia adalah tindakan wakil yang difailkan oleh Zainal Abidin bagi pihak anggota Umno Pulau Pinang yang lain.

"Dalam apa jua keadaan, seperti keputusan mahkamah ini terdahulu, tindakan wakil tidak boleh dilakukan dalam prosiding fitnah. Dalam keadaan ini, mahkamah bersetuju dengan bantahan awal yang dibuat oleh defendan," katanya.

Zainal Abidin, 52, yang memfailkan saman itu pada 24 Okt 2011, menamakan Lim yang juga Setiausaha DAP, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang merupakan syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan, dan ketua penyuntingnya, Fazallah Pit sebagai defendan.

Peguam Lim, Karpal Singh telah membangkitkan bantahan awal dengan menyatakan saman itu tidak mematuhi Seksyen 9(c) kerana plaintif Zainal Abidin tidak didaftarkan sebagai pegawai awam Umno Pulau Pinang oleh ROS, dan oleh itu memohon saman itu dibatalkan.

Tiga defendan lain turut mengguna pakai hujah Karpal Singh dalam bantahan awal mereka.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai 2011, Lim telah menerbitkan suatu kenyataan akhbar melalui e-mel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai.

Zainal Abidin berkata kenyataan Lim yang antara lain membawa maksud kononnya beliau terlibat dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau didakwa Lim melakukan perkara tersebut melalui cara yang salah serta menyembunyikan penglibatannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai 2011.

Beliau berkata pada 18 Ogos tahun lepas, Lim telah mengeluarkan satu lagi kenyataan menyinggungnya di hadapan sekumpulan wartawan, yang telah disiarkan di laman berita elektronik, The Malaysian Insider, pada hari yang sama.

Zainal Abidin berkata antara lain kenyataan itu membawa maksud kononnya beliau telah merancang untuk mensabotaj premis parti DAP di Pulau Pinang, dan kononnya beliau terlibat dalam mencetuskan cubaan membakar premis itu.

Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan suatu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu.

Lim dalam pernyataan pembelaannya berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi, komen yang adil dan perlindungan bersyarat. - BERNAMA

Artikel Lain